
KUALA LUMPUR: Anak syarikat Kerajaan Terengganu, EPIC Berhad mencatat sejarah apabila merekodkan perolehan tertinggi sejak penubuhannya sebanyak RM411.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), meningkat RM8.1 juta berbanding tahun sebelumnya.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, prestasi itu sekali gus meneruskan trajektori pertumbuhan positif syarikat sejak 2022, didorong oleh kepelbagaian portfolio perniagaan, penambahbaikan operasi serta pengembangan aktiviti dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata, selain peningkatan hasil, keuntungan sebelum cukai (PBT) turut melonjak kepada RM36.9 juta berbanding RM28.4 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM20.6 juta berbanding RM16.6 juta pada TK2024.
“Ini menunjukkan keupayaan Kumpulan EPIC untuk terus menjana pertumbuhan keuntungan yang mampan walaupun berhadapan cabaran industri dan ketidaktentuan pasaran.
“Pertumbuhan itu juga disokong oleh pengambilalihan Rahar Niaga Sdn Bhd (RNSB), sumbangan kontrak baharu Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Pengubahsuaian (MCM), Penyambungan dan Pentauliahan (HUC), selain peningkatan kemasukan pelantar luar pesisir serta jumlah kendalian kargo,” katanya.
Beliau mewakili Pengerusi EPIC Berhad, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika mengumumkan pencapaian pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-45 EPIC Berhad, di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, EPIC Berhad menyasarkan perolehan RM441.3 juta bagi TK2026 atau peningkatan kira-kira tujuh peratus berbanding TK2025.
“Prospek TK2026 bakal diperkukuh melalui pertumbuhan berterusan dalam perniagaan teras, penambahbaikan operasi serta pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Strategik Perniagaan EPIC 2025-2030 (EPIC BEST 2530),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, prestasi TK2025 membuktikan keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan menerusi pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta daya tahan operasi.
“Kepelbagaian portfolio perniagaan Kumpulan memainkan peranan penting dalam mengimbangi kesan kitaran industri, di samping membolehkan EPIC Berhad memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu. Penambahbaikan berterusan dari segi kecekapan operasi dan penggunaan aset kekal menjadi fokus utama ke hadapan.
“Pihak syarikat akan terus memberi keutamaan kepada pertumbuhan secara berdisiplin berpandukan EPIC BEST 2530 dengan penekanan terhadap pengukuhan perniagaan teras, peningkatan kualiti perkhidmatan serta pemerkasaan penawaran bernilai tambah dalam ekosistem perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu,” tambah beliau lagi.
Menurutnya, EPIC turut memperkukuh agenda kelestarian melalui pelaksanaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk usaha mentransformasikan Pelabuhan Kemaman sebagai Pelabuhan Hijau menjelang 2035.
“Usaha-usaha ini menyokong aspirasi EPIC Berhad untuk mentransformasikan Pelabuhan Kemaman sebagai Pelabuhan Hijau menjelang tahun 2035, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat untuk mencipta nilai jangka panjang buat pemegang saham, pelanggan, warga kerja, komuniti dan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, syarikat memperuntukkan RM2.75 juta bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang TK2026 sebagai sebahagian komitmennya terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
“Bagi TK2026, Kumpulan EPIC memperkukuhkan komitmen yang sama dengan peruntukan sebanyak RM2.75 juta, tidak termasuk perbelanjaan bagi program libat urus bersama pihak berkepentingan yang telah dikenal pasti.
“Inisiatif ini bertujuan menyokong pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan di dalam negeri serta kawasan operasi syarikat, di samping memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
“Seiring usaha meningkatkan asas perolehan dan memperkasakan penawaran perkhidmatan, EPIC Berhad berada di landasan yang tepat untuk terus menjana pertumbuhan mampan serta mewujudkan nilai tambah jangka panjang buat pihak berkepentingan syarikat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2026











