
MUAR: PAS menegaskan semua calon PN yang diketengahkan pada pada PRN16 Johor kali ini merupakan individu yang telah terbukti berkhidmat kepada rakyat serta mempunyai keupayaan membawa suara masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah lama dibuktikan kepada masyarakat, bukannya secara sembarangan.
Menurut beliau, PAS telah sekian lama berkhidmat kepada rakyat walaupun bukan sebagai kerajaan negeri melalui pelbagai institusi pendidikan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang politik.
“Calon-calon PAS yang bertanding menggunakan lambang PERIKATAN NASIONAL (PN) bukan sekadar boleh bercakap, tetapi telah terbukti mampu berkhidmat dan membawa suara rakyat. Selama ini PAS tidak pernah memilih bulu dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Kita menguruskan PASTI, sekolah agama rakyat dan pelbagai institusi pendidikan tanpa pernah bertanya ibu bapa mereka ahli parti mana atau mengarahkan mereka mengundi PAS,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PN berkata demikian ketika berucap pada Program Pentas Anak Muda dan Himpunan Jentera Pemuda di Laman Muafakat, Simpang Jeram, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata semangat kebajikan itu turut dizahirkan menerusi Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang sentiasa berada di hadapan membantu mangsa bencana tanpa mengira fahaman politik.
“Apabila berlaku banjir, petugas Amal tidak pernah bertanya rumah itu milik ahli PAS, Umno atau parti lain sebelum membantu membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur.
“Malah di Kedah, petugas Amal pernah membersihkan bangunan Umno yang ditenggelami banjir. Itulah prinsip PAS sejak dahulu sehingga hari ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa asas perjuangan PAS bukan sahaja menyampaikan mesej Islam, malah membantu golongan memerlukan melalui pelbagai bentuk bantuan sama ada tenaga, kewangan mahupun menjadi suara kepada rakyat.
Dalam pada itu, Afnan turut menyentuh pengorbanan ahli PAS yang sanggup berdepan pelbagai risiko demi perjuangan.
Sebagai contoh, katanya, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pengulas sukan RTM, Azlan Johar, kehilangan kerjaya profesionalnya kurang 24 jam selepas mengisytiharkan penyertaan dalam PAS.
Menurut beliau, ketika itu Azlan masih bertugas sebagai pengulas Piala Dunia dan menerima bayaran lumayan berdasarkan kepakarannya.
“Rakan-rakan menasihatkan beliau supaya menangguhkan pengisytiharan sehingga tamat Piala Dunia, tetapi beliau memilih untuk menyerahkan borang keahlian PAS pada malam itu juga.
“Keesokan harinya, ketika dalam perjalanan ke studio RTM, beliau menerima notis bahawa beliau tidak lagi diperlukan sebagai pengulas Piala Dunia.
“Seorang bekas pemain kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara kehilangan kerjaya hanya kerana menyertai sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara yang sering dilaungkan kerajaan PH.
“Beliau tidak pernah menghentam kerajaan, tidak pernah mengkritik sesiapa. Beliau hanya mengisytiharkan dirinya menyertai PAS, tetapi terus kehilangan sumber rezeki.
“Inilah contoh demokrasi yang dibawa oleh PH. Jika rakyat Johor memberi mereka peluang, tidak mustahil budaya seperti ini akan dibawa ke negeri Johor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor memberikan mandat kepada calon-calon PERIKATAN NASIONAL supaya suara semak dan imbang dapat dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Afnan menjelaskan matlamat utama PAS dan PERIKATAN NASIONAL dalam PRN Johor ialah menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar menjaga kepentingan rakyat.
Mengulas mengenai kerjasama politik pula, beliau berkata PAS sejak dahulu mengutamakan penyatuan umat Islam dan orang Melayu tanpa menafikan hak kaum lain.
“Islam menjadi asas perjuangan PAS. Penyatuan sesama bangsa akan menguatkan Islam, tetapi pada masa yang sama kita tidak pernah menindas kaum lain.
“Bukan semua masyarakat Cina menyokong DAP. Ramai dalam kalangan mereka kini mula kecewa dengan keadaan ekonomi yang semakin sukar, terutama golongan peniaga yang berdepan pelbagai beban cukai dan kos operasi,” katanya.
Menurut beliau lagi, perubahan sentimen tersebut membuka peluang kepada PERIKATAN NASIONAL untuk mendekati semua lapisan masyarakat termasuk pengundi bukan Melayu.
Dalam perkembangan sama, beliau berpendapat Umno masih dikenali sebagai parti yang kuat di Johor, namun jumlah kerusinya perlu dikurangkan supaya berlaku perubahan dalaman dalam parti itu.
“Kalau Umno menang terlalu banyak kerusi, mereka tidak akan berubah. Tetapi jika kerusi mereka berkurangan, barulah mereka akan sedar dan melakukan pembaharuan.
“Kalau akhirnya Umno perlu memilih antara PERIKATAN NASIONAL dan PH untuk membentuk kerajaan, sudah tentu lebih baik mereka memilih PERIKATAN NASIONAL,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendekatan PAS terhadap anak muda berbeza kerana majoriti pengundi berusia bawah 40 tahun lebih cenderung menilai isu serta kredibiliti calon berbanding kesetiaan kepada parti.
Katanya, media sosial kini menjadi medan utama untuk mendekati golongan muda yang tidak lagi bergantung kepada ceramah fizikal sebagai sumber maklumat politik.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangkang yang baik perlu menyokong dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat, selain menegur perkara yang tidak tepat.
Sebagai contoh jelasnya, PAS menyokong pendirian kerajaan dalam isu Palestin, namun mengkritik beberapa dasar ekonomi termasuk rasionalisasi diesel dan pengurangan kuota subsidi bahan api yang dianggap membebankan rakyat.
“Itulah peranan pembangkang. Yang betul kita sokong, yang tidak betul kita tegur. Peranan ini yang akan dibawa oleh calon-calon PERIKATAN NASIONAL ke DUN Johor,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera PAS dan PERIKATAN NASIONAL mempergiat gerak kerja sepanjang tempoh kempen dengan memberi tumpuan kepada pengundi muda.
Dalam pada itu, beliau yakin rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang lebih seimbang dengan kewujudan pembangkang yang kuat dan berkesan.
“Tagline kita ialah kerajaan yang seimbang. Umno mentadbir kerajaan negeri, manakala PAS dan PERIKATAN NASIONAL menjadi pengimbang yang kuat demi memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara.
“Insya-Allah, dengan kerja keras seluruh jentera dan calon sepanjang tempoh kempen, rakyat Johor akan membuat pilihan yang terbaik demi masa depan negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2026











