Genosid Gaza dan sentimen politik Amerika Syarikat

- Advertisement -

KELMARIN dunia menyaksikan kemenangan tiga calon Demokrat yang didokong Zohran Mamdani sebagai sokongan padu pengundi New York terhadap kepimpinan dan arah tuju pentadbiran yang dibawa oleh Datuk Bandar Muslim New York itu.

Malah penganalisa melihat ianya mungkin bakal mempengaruhi arah tuju politik parti Demokrat kepada pendirian yang lebih kiri malah sangat anti Israel dan genosid yang diperlakukan terhadap warga Palestin khasnya penyembelihan warga Gaza yang masih belum dinoktahkan.

- Advertisement -

Brad Lander mengalahkan penyandang kerusi sebanyak dua kali Dan Goldman, seorang penyokong tegar Israel yang disokong AIPAC (American Israel Public Affairs Committee), sebuah kumpulan pelobi yahudi berpengaruh, dengan undi melebihi 65 peratus. Meraikan kemenangannya, Lander di X menyatakan bahawa warga New York telah membuktikan bahawa mereka mahukan ‘kepimpinan yang bersedia untuk melawan, bukan mengalah, berdepan dengan autoritarianisme’.

Lander sememangnya dikenali kerana pendirian tegasnya menolak sebarang bantuan ketenteraan kepada Israel,

Darializa Avila Chevalier, seorang calon doktor falsafah yang menganjurkan demo pro-Palestin di Columbia University telah mengalahkan penyandang kerusi sebanyak lima kali, Adriano Espaillat yang juga merupakan pengerusi Congressional Hispanic Caucus. Mamdani dalam meraikan kemenangan beliau melihat Chevalier yang tidak segan silu mengenakan keffiyeh semasa hari pencalonannya, sebagai tokoh ‘of clarity, of conscience and of conviction’.

Assemblywoman New York, Claire Valdez pula dikatakan berjaya mengalahkan Presiden Brooklyn Borough yang juga disokong kuat kepimpinan Demokrat Bandaraya New York. Valdez berterima-kasih dengan Mamdani sambil mengatakan bahawa kemenangan beliau dan dua rakannya yang didokong Datuk Bandar sebagai bukti bahawa ‘perjuangan yang dibawa mereka mampu bertahan’.

BBC melihat kemenangan mereka bertiga sebagai mesej jelas kepada seluruh kepepimpinan Demokrat di seluruh Amerika Syarikat, ‘It is spilling out into national politics’.

Al-Jazeera pula melihat kemenangan ketiga-tiga calon Demokrat yang didokong Mamdani itu sebagai satu tantangan hebat kepada kumpulan pro-Israel di Amerika Syarikat.

Beth Miller pengarah politik kumpulan advokasi Jewish Voice for Peace (JVP) Action melihat kemenangan mereka sebagai gempa bumi politik di Bandaraya New York malah melihat ianya sebagai satu perkembangan bahawa ‘sokongan tidak berbelah bagi kepada kemerdekaan dan pembebasan Palestin bukan hanya sebagai pendirian moral malah jalan kemenangan kepada calon-calon progresif’.

Heba Gowayed, profesor Sosiologi daripada City University of New York (CUNY) berpandangan ianya boleh dilihat sebagai kekalahan besar terhadap pendirian sinikal bahawa sebarang kritikan terhadap Israel sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima langsung.

Malah Mamdani juga sebelum itu dikritik sebagai anti-semitik setelah kenyataan keras beliau terhadap AIPAC sebagai raksasa yang terlibat langsung kepada genosid yang berlaku di Gaza. Kritikan keras itu juga dibuat apabila AIPAC dikatakan tidak segan silu menggunakan jutaan ‘dark money’ demi memenangkan calon pro-Israel yang bertanding demi sebuah status quo pembantaian ribuan nyawa rakyat Palestin termasuk kanak-kanak pada setiap hari!

Pendirian Mamdani itu senada dengan dapatan dan kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pada 23 Jun lepas telah mengeluarkan kenyataan rasmi yakni terdapat bukti jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak Palestin telah menjadi sasaran dan dibunuh dengan terancang oleh tentera Israel, tegas Srinivasan Muralidhar, Pengerusi Suruhanjaya Bebas Siasatan Antarabangsa PBB di Wilayah Palestin yang Diduduki, Baitulmaqdis Timur dan Israel.

“Walaupun selepas gencatan senjata dibuat pada Oktober 2025, kanak-kanak Palestin terus dibunuh dan mengalami cedera parah dek sikap bebal Israel tidak menghiraukan gencatan senjata sebagai langkah perlindungan perlu bagi kanak-kanak Palestin dibawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod negara haram Israel telah membunuh 22,000 kanak-kanak Palestin dan mencederakan lebih 44,000 yang lain sejak 7hb Oktober 2023. Mereka juga direkodkan telah mengalami kecederaan fizikal dan mental yang teruk, trauma massa, menjadi anak yatim, terpisah dan dipisahkan, hilang upaya, pemindahan berulang-ulang kali, kebuluran dan keruntuhan sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan. Malah serangan Israel telah memadamkan zaman kanak-kanak dan akan terus menjejaskan pengalaman dan kualiti hidup kanak-kanak di Gaza sepanjang hayat mereka!

Malah kanak-kanak Palestin juga telah ditangkap dan dikenakan penyeksaan dan pelbagai bentuk penganiayaan lain di penjara dan pusat tahanan Israel, tanpa sebarang maklumat akan keberadaan mereka. Lebih teruk lagi kanak-kanak Palestin juga telah dikenakan keganasan seksual oleh tentera Israel sebagai penindasan dan pengaiban kolektif yang sememangnya telah berakar umbi dek permusuhan dan pendudukan bergenerasi lama, terhadap faktor etnik dan jantina.

PBB juga menegaskan tiada keraguan lagi kepada sesiapa yang membaca laporan mereka bahawa Israel telah melanggar segala norma undang-undang antarabangsa terhadap perlakuan mereka kepada kanak-kanak Palestin dan mereka harus dipertanggungjawabkan, tegas Pesuruhjaya Chris Sidoti sambil menceritakan kes seorang kanak-kanak yang berusia 14 tahun ditembak kejam tanpa sebab oleh tentera Israel malah dibiarkan selama 45 minit lama, sambil para tentera merokok dan bersembang. Kanak-kanak itu yang cedera parah dan terbaring menemui ajal setelah mengalami pendarahan teruk.

Laporan PBB itu juga mengkritik pemusnahan terancang fasiliti berkaitan kanak-kanak termasuk pusat jagaan bersalin dan neonatal di Gaza yang mengancam nyawa bayi-bayi baru lahir dan masa depan reproduktif rakyat Palestin. Malah pelbagai bentuk sekatan dan kepungan (ekonomi dan peralatan) menyumbang kepada kematian kanak-kanak Palestin dan kemerosotan kesihatan mereka yang lain. Laporan itu juga menyebut bahawa tindakan jahat Israel memusnahkan dan merosakkan rumah anak yatim serta pusat pendidikan di Gaza dan Tebing Barat telah menghalang penjagaan dan perkembangan kognitif, sosial dan kesihatan emosi malah telah meruntuhkan asas masyarakat Palestin.

Melihat kepada genosid Gaza mempengaruhi sentimen politik Amerika Syarikat tentunya Malaysia yang tidak mempunyai sebarang jalinan diplomatik dengan Israel sepatutnya menunjukkan keputusan sama menolak sebuah status quo yang telah menjalin kerjasama dengan agen-agen genosid sama ada melalui US-Malaysia Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang dilabel sebagai perjanjian serah tengkuk yang menggugat kedaulatan Malaysia. Atau pihak yang membenarkan entiti terkait BlackRock Inc. memiliki access langsung kepada MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad) dan aset-aset strategiknya di seluruh Malaysia, yang menghalalkan penggunaan nadir bumi kita kepada industri terkait persenjataan ketenteraan Zionisme malah perkongsian data peribadi kita kepada proksi strategik Palantir Technologies yang berpusat di Vietnam.

Malah dasar politik yang mengutamakan marhaen berbanding kartel korporat dan perlaksanaan cukai mahakaya digunakan untuk mendanai program perekonomian marhaen seperti yang diperjuangkan Mamdani dan rakan-rakan beliau harus dijadikan kayu ukur setiap rakyat Malaysia kepada pemilihan atau penolakkan seseorang calon menjelang beberapa siri pilihan raya yang bakal dihadapi kita semua kelak.

Mungkin juga pesanan Mamdani “The old politics that got us into this crisis is not the politics that’s going to get us out of this crisis,” boleh diguna-pakai.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 26/6/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -