
TEHRAN: Itali menegaskan bahawa tiada pangkalan tenteranya digunakan dalam sebarang operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, sekali gus menolak dakwaan yang timbul susulan kenyataan Setiausaha Agung Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.
Penegasan itu disampaikan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, ketika mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araqchi, pada petang Khamis.
Dalam perbualan tersebut, Tajani menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pangkalan tentera Itali digunakan oleh AS untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang pangkalan tentera Itali terlibat dalam serangan ke atas Iran dan memberi jaminan bahawa perkara sedemikian tidak akan berlaku pada masa hadapan.
“Pesawat tentera AS juga tidak berlepas dari wilayah Itali untuk melaksanakan pengeboman terhadap Iran, selain menegaskan bahawa kerajaan Itali tidak pernah memberikan kebenaran bagi sebarang operasi sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Araqchi menghargai panggilan telefon serta penjelasan yang diberikan oleh Tajani.
Beliau bagaimanapun menekankan kepentingan kerajaan Itali mengeluarkan penafian yang jelas dan rasmi berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung NATO itu. – HARAKAHDAILY 26/6/2026











