Merindui sosok Ustaz Abu Bakar Chik yang luar biasa

- Advertisement -

AGAK luas jurang pengorbanan dan keharakian yang ditinggalkan oleh generasi pimpinan dahulu dengan pimpinan masa kini di pelbagai peringkat organisasi. Generasi yang dicetak dengan perkaderan dakwah yang serius, dibelai dengan mehnah dan ibtila’ di jalan perjuangan, disepuh dengan pengalaman jeriji besi ISA. Ada yang dibuang daerah, bersepuh dengan intimidasi yang memeritkan.

Generasi syabab dekad 1970-an dan 80-an, seperti Almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Sidek Noor, Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Ibrahim Mahmud, dan ratusan nama besar lain yang dicetak dengan pelbagai mehnah termasuk pemenjaraan. Masa berlari berdesut pantas, harakatul ummah ini bukan lagi di sudut sempit padang perjuangan, namun telah berada di tengah podium kekuasaan dengan menjadi parti terbesar memiliki ahli legislatif dalam Parlimen dan DUN negara ini. Semua mata tertumpu kepada PAS, jelingan lalat atau lebah tetap menompok manfaat implisit kepada perjuangan PAS yang telah 75 tahun keberadaannya.

Pagi ini aku berkejar ke konti radio Manis FM dengan tim promosi karnival Jerteh LESTARI 2026 untuk menghadiri sesi khas pencitraan program patuh syariah. Terbayang teman-teman aktivis yang telah berkelana ke alam abadi. Sosok-sosok hebat dalam jamaah terutama di zaman PAS serba sukar untuk bergerak dalam sendi masyarakat urban. Pagi ini terkenang sosok pejuang berlapis besi kursani sempena ulang tahun kedua belas pemergiannya ke alam abadi. Tokoh ini antara yang melonjakkan idea kepimpinan ulama dalam dekad 80-an iaitu almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik.

- Advertisement -

Gaya almarhum dengan ketajaman akal, pemikiran analitikal tak akan mampu diteladani tahap pemimpin zaman koridor kuasa. Mungkin kerana latar pengalaman yang berbeza serta kecanduan kepada budaya ilmu beliau. Maestro dakwah dan haraki di dalam PAS yang telah 12 tahun meninggalkan kita semua, kami di zaman muda memesrainya dengan panggilan Ustaz ABC. Pada tanggal 23 Jun 2014, almarhum menutup kisah-kisah heroik beliau dalam rentan panjang perjuangan Islam semenjak zaman remaja lagi sehinggalah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di LPT2 . Ribuan yang menyolati jenazah almarhum di kompleks MTT Tok Jiring, siapa pun yang mengenali almarhum, tak mampu mengekang air mata luruh perlahan kerana memahami dunia harakah Islam kontemporari kehilangan puteranya.

Terkenal dengan reputasinya dalam bidang pendidikan, almarhum juga seorang jurubina kader yang tersohor. Idea-ideanya, melangkaui zaman dan keseriusan untuk memeluk segala impian maka insan ini begitu komited bekerja. “Ustaz, enta tak penat ke dalam usia begini kesana dan kemari mengejar program dan mesyuarat?” polos soalanku pada Ustaz ABC. Di hujung usia, sosok emas ini mula berkurangan sifat bengkengnya.

“Ana ni ambik semangat orang muda, suka bekerja dengan orang muda, orang muda mana ada istilah penat,” tukasnya dengan terang, namun ada tawa kecil di hujung jawaban. Beliau mengotakan kata-katanya, tiada istilah bosan dan lelah dalam perjuangan.

Almarhum bukan sahaja memenuhi pelbagai undangan ceramah, mengisi program tajnid dalam jaulah, tamrin, ijtimak, namun menggunakan pelbagai kenderaan untuk sampai ke lokasi program. Menaiki bas, kereta, membonceng motor dan tiba di lokasi program dengan senyuman khasnya. Begitu juga untuk melepas penat seharian berprogram, kadang terbaring dengan dengkuran halus di mana sahaja, termasuk di Markas Tarbiah. Alumni tahanan politik ISA ini menyintai jamaah dan jalan jihad sepenuh relung hatinya.

Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman remaja, idealis kampus serta aktivis yang berani mendombrak kezaliman sehingga mendekam dalam tahanan ISA. Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik adalah kejora di langit malam yang menghiasi rentang perjuangan PAS lebih tiga dekad. Memimpin anak-anak muda, bahkan dengan gaya pemberani serta tegas, beliau singa jalan raya yang memimpin puluhan siri bantahan awam di negara ini. Watak pemberani yang dikacuk dengan sifat dahagakan ilmu pengetahuan, beliau adalah calon Doktorat UNISEL serta tak pernah jemu bertalaqi. Jangan bercerita mengenai sulitnya mengatur program kepada beliau kerana tiada yang sulit dalam menjayakan apa sahaja program jika diawali dengan niat yang baik serta keseriusan untuk menjayakan program.

Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70-an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Haji Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh rejim BN pada tahun 1991. Kami anak anak kampus pernah menggalang demonstrasi membantah kezaliman kerajaan Terengganu terhadap Institut Berakan. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.

Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988 kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli mengenai tasawwur perjuangan Islam.

Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda PAS Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Aku teringat almarhum menemankan aku makan tengahari usai, Program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekandaku, Ustaz ABC. Aku tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun itu.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussain Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.

Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak-anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.

Terlalu banyak yang perlu penulis coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baikku ini, namun aku mengejar masa untuk berprogram padat hari ini. Sejujurnya, Dato Abu Bakar Chik adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap kepada kami, generasi syabab dekad 90an. Berusrah dengan almarhum bermakna kami kena ‘cas ligas’ berkeringat demi Islam dan perjuangan.

Melihat kompleks Pendidikan Islam MTT Tok Jiring seolah menyimbah rasa kesayuan dan kerinduan yang tak tertahan. Buah ideanya paling akhir sebelum mengadap ilahi ialah Maahad tahfiz OKU (penglihatan) di MTT Tok Jiring Terengganu. Semoga segala keringat, penat lelah almarhum menjadi baja pahala yang tak putus kepada Ustaz ABC yang kami rindui sepanjang hayat kami. Generasi era tamkin tak lagi melihat kelibat kepimpinan sehebat ini, berkeringat dan memerah idea sehabis upaya!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 25/6/2026

- Advertisement -