Gejala vape kini jadi pintu masuk salah guna dadah

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Penggunaan rokok elektronik atau vape perlu diberi perhatian serius kerana bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah sintetik dalam kalangan remaja dan golongan muda.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, kebimbangan itu wajar diberi perhatian memandangkan dadah sintetik boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk cecair, serbuk dan pil yang mudah disalahgunakan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mengenai jumlah kes penagihan dadah sintetik direkodkan sejak 2003 serta langkah kerajaan dalam menangani peningkatan penggunaan bahan terlarang itu.

“Saya tertarik dengan soalan yang diajukan mengenai jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak tahun 2003 hingga kini serta usaha kerajaan menangani peningkatan penggunaan dadah sintetik.

“Apabila bercakap mengenai dadah sintetik, ia boleh hadir dalam bentuk cecair, serbuk dan juga pil,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Menurut beliau, perkembangan penggunaan vape pada masa ini turut menimbulkan kebimbangan kerana kandungan cecair yang digunakan tidak sentiasa diketahui oleh pengguna.

Mohd Hasnizan yang mengakui pernah menjadi seorang perokok tegar selama 32 tahun berkata, situasi ketika beliau merokok dahulu berbeza dengan keadaan semasa apabila vape semakin meluas digunakan sebagai alternatif kepada rokok.

“Saya memang seorang perokok tegar satu ketika dahulu. Ketika itu tidak ada vape, yang ada hanyalah rokok. Saya faham ramai yang cuba berhenti merokok lalu beralih kepada vape.

“Namun kesan vape ini lebih berbahaya kerana cecair yang digunakan kadangkala tidak diketahui kandungannya,” ujarnya turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Kata beliau, terdapat peranti vape yang direka dalam pelbagai bentuk sehingga menyukarkan guru untuk mengesannya di sekolah.

“Banyak bukti dan kes menunjukkan pelajar mula menghisap vape. Ada peranti yang direka dalam pelbagai bentuk sehingga guru sukar mengesannya.

“Jika di sekolah pun sukar dikesan, bayangkan apa yang berlaku di luar sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat kebimbangan bahawa sesetengah cecair vape dicampur dengan bahan terlarang termasuk dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius serta risiko pengambilan dos berlebihan.

“Kita melihat pelbagai video yang menunjukkan kesan penggunaan bahan ini sehingga menyebabkan seseorang hilang kawalan terhadap diri sendiri.

“Hanya dengan beberapa sedutan sahaja, seseorang boleh berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memaklumkan sehingga April 2026 sebanyak 402 kes melibatkan penyalahgunaan bahan terlarang melalui vape direkodkan berdasarkan data rampasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, antara bahan yang dikenal pasti ialah benzodiazepine seperti nimetazepam, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.

Dalam pada itu, Mohd Hasnizan turut berkongsi pengalaman peribadinya berhenti merokok selepas bertahun-tahun mencuba pelbagai kaedah.

Katanya, usaha berhenti merokok memerlukan keazaman yang tinggi dan kesungguhan untuk berubah demi kesihatan diri.

“Saya cuba pelbagai kaedah tetapi tidak berjaya. Akhirnya saya bertekad untuk berhenti dan dengan izin Allah, selepas dua minggu saya tidak menyentuh sebatang rokok pun.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya tidak lagi merokok walaupun pernah menjadi perokok tegar selama lebih 32 tahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap langkah yang lebih tegas termasuk mengharamkan penjualan vape bagi melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin serta risiko penyalahgunaan dadah.

“Saya amat bersetuju sekiranya vape diharamkan. Saya tahu ramai rakan yang beralih daripada rokok kepada vape, tetapi itu bukan jalan penyelesaiannya.

“Kita perlu memikirkan kesannya kepada anak-anak dan generasi muda,” tegasnya.

Beliau turut menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak-anak serta memainkan peranan aktif dalam mencegah mereka daripada terjebak dengan budaya menghisap vape.

“Usaha adalah tangga kejayaan. Kalau saya yang pernah menjadi perokok tegar boleh berhenti, tidak mustahil orang lain juga boleh melakukannya.

“Saya berharap mereka yang masih menghisap vape, termasuk golongan muda yang sudah terjebak dengannya, dapat berusaha untuk berhenti demi kesihatan dan masa depan yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2026

- Advertisement -