Rumah musnah: Usahawan OKU terima bantuan YPU

Ariffin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan dan sumbangan tunai kepada seorang usahawan OKU
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menghulurkan bantuan peralatan dan sumbangan tunai kepada seorang usahawan orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan tempat tinggal serta peralatan perniagaan akibat kebakaran di Kampung Hiliran, di sini, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan kediaman milik Yusuf dan keluarganya dengan kerugian dianggarkan hampir RM50,000.

- Advertisement -

Menurutnya, mangsa ialah suami kepada Yerlianis Nordin, seorang usahawan OKU yang pernah menerima bantuan daripada YPU bagi menjalankan perusahaan jahitan.

“Dalam kejadian itu, rumah mereka musnah hampir 100 peratus termasuk peralatan perniagaan yang digunakan untuk mengambil upah menjahit pakaian.

“Sebagai antara fungsi dan tanggungjawab YPU, kami sentiasa berusaha membantu usahawan yang ditimpa musibah supaya mereka dapat bangkit semula meneruskan kehidupan dan perniagaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Ariffin berkata, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi menyampaikan bantuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa selain membantu mereka memulakan semula kehidupan dan perniagaan yang terjejas akibat kebakaran.

“Saya mendoakan agar keluarga ini terus tabah menghadapi ujian, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan rezeki yang lebih baik sebagai ganti atas kehilangan yang dialami,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -