MAIK pelopor SKM imam, pegawai masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjadi antara institusi terawal di negara ini melaksanakan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) khusus untuk imam dan pegawai masjid bagi memperkukuh profesionalisme serta pengurusan institusi masjid.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, program melalui Akademi Latihan Al-Muhammadi dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu bertujuan meningkatkan kemahiran pegawai masjid dalam aspek pengurusan dan pentadbiran.

- Advertisement -

“Program selama kira-kira empat bulan ini membuka laluan kemahiran yang diiktiraf kepada imam dan pegawai masjid.

“Melalui sijil ini, mereka dapat mengurus masjid dengan lebih baik dan kemahiran itu juga boleh dimanfaatkan dalam kerjaya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi SKM dan Tamat Program Murajaah Hafazan al-Quran MAIK di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud serta pegawai kanan MAIK.

Sehubungan itu menurut Mohamad Rizam, program berkenaan melibatkan Kursus Pengoperasian Masjid Tahap 1 dan Kursus Penyelarasan Operasi Masjid Tahap 2 berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

“Seramai 38 peserta menamatkan program berkenaan dengan 22 orang mengikuti Tahap 1 dan 16 orang menamatkan Tahap 2,” ujarnya.

Tambah beliau, 16 lagi peserta dijangka mengikuti Tahap 3 dalam masa terdekat dan penyertaan akan diperluas secara berperingkat.

“Kita berharap program ini dapat meningkatkan mutu pengurusan dan pengimarahan masjid di Kelantan secara lebih berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MAIK turut melaksanakan Program Murajaah Hafazan al-Quran dari Mei 2025 hingga April 2026 melibatkan 35 masjid di seluruh Kelantan – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -