AS setuju lepaskan USD12 bilion dana Iran yang dibekukan

- Advertisement -

TEHRAN: Ketua Pasukan Perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata Tehran dan Washington telah mencapai persetujuan berhubung pelepasan dana Iran berjumlah USD12 bilion yang sebelum ini dibekukan oleh Amerika Syarikat (AS).

- Advertisement -

Kenyataan itu dibuat selepas AS mengumumkan pelonggaran sementara sekatan yang membenarkan penjualan produk minyak dan petrokimia Iran sehingga 21 Ogos 2026, menurut laporan Al Jazeera.

Ghalibaf menyifatkan rundingan empat pihak yang berlangsung di Switzerland hujung minggu lalu sebagai menghasilkan ‘pencapaian yang baik’, dengan perbincangan tertumpu kepada isu Selat Hormuz, Lubnan, pengecualian sekatan minyak serta pembebasan dana yang dibekukan.

“Pada pandangan saya, perjalanan rundingan dengan AS ini telah mencapai pencapaian yang baik, terutamanya mengenai perbincangan berkaitan Selat Hormuz, Lubnan, isu pengecualian minyak dan pelepasan dana beku, yang merupakan salah satu langkah yang sedang kami lakukan.

“Walau bagaimanapun, kami percaya kami masih berada di peringkat awal proses ini dan perlu meneruskan usaha kami,” katanya.

Menurut beliau, dana beku berjumlah USD12 bilion itu akan dilepaskan dalam dua fasa, dengan setiap fasa melibatkan pembayaran sebanyak USD6 bilion.

Ghalibaf bagaimanapun menjelaskan bahawa sekatan ke atas sektor minyak Iran masih kekal berkuat kuasa memandangkan perjanjian muktamad antara kedua-dua pihak belum dimeterai sepenuhnya.

“Oleh itu, kami memerlukan pengecualian supaya kami boleh menjual minyak kami dan menjalankan aktiviti perbankan,” katanya sambil menambah bahawa pengecualian yang diperlukan telah diperoleh dan perjanjian berkaitan sudah ditandatangani.

Menyentuh mengenai situasi di Lebanon, beliau berkata kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan sebuah pusat penyelarasan bagi menangani pertikaian serta membantu mengelakkan tercetusnya semula konflik bersenjata.

Katanya, pusat berkenaan bertujuan mencegah kembalinya peperangan, membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan normal, memastikan pengunduran tentera Israel dari kawasan yang diduduki serta menghormati kedaulatan Lubnan.

Mengenai Selat Hormuz pula, Ghalibaf menegaskan bahawa mekanisme pentadbiran dan penyelarasannya tidak akan kembali seperti sebelum perang.

“Mekanisme penyelarasan, termasuk talian hotline dan pusat penyelesaian pertikaian, telah dipersetujui bagi menangani sebarang salah faham pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2/2026.

- Advertisement -