
KUALA LUMPUR: Isu pelarian di Malaysia bukan hanya melibatkan masyarakat Rohingya kerana bukan semua yang datang dari Myanmar ialah Rohingya, kata Ustaz Rahimullah Muhammad Hussain.
Penegasan Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR) itu dibuat dalam satu kenyataan yang turut memperincikan beberapa isu tular berkaitan komuniti pelarian di negara ini.
Beliau menjelaskan bahawa menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Malaysia kini telah menempatkan pelarian serta pemohon suaka berdaftar dari lebih 50 negara.
Menurutnya, pelarian dari Myanmar sebenarnya terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Rohingya, Chin, Karen, Kachin, Shan, Mon, Kayah, Rakhine dan lain-lain.
Hak kewarganegaraan
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya semua dakwaan palsu yang tersebar di media sosial.
“Kami tidak pernah menuntut mana-mana kawasan atau sebarang hak kewarganegaraan di Malaysia.
“Itu adalah satu tuduhan yang dibuat oleh pihak yang ingin mewujudkan kebencian terhadap kami dan menjejaskan kehidupan kami di sini,” tegasnya.
Beliau turut menggariskan bahawa perjuangan komuniti Rohingya adalah untuk mendapatkan hak kewarganegaraan di Myanmar, iaitu tanah tumpah darah mereka.
Mengulas isu tular berkaitan dakwaan kononnya komuniti itu menuntut kewarganegaraan Malaysia, beliau memaklumkan bahawa kenyataan berkenaan telah diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.
“Kenyataan asal telah diubah suai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial dengan menukar frasa ‘menuntut hak kewarganegaraan Myanmar’ kepada ‘menuntut hak kewarganegaraan Malaysia’,” ujar beliau dalam nada kesal.
Beliau turut memperincikan bahawa, kehadiran komuniti Rohingya di Malaysia adalah semata-mata untuk mendapatkan perlindungan sementara, serta menjalani kehidupan dalam keadaan aman, selain mematuhi undang-undang dan peraturan negara.
Tambah beliau, komuniti itu bersedia untuk kembali ke Myanmar sekiranya wujud jaminan keselamatan, keamanan serta pengiktirafan terhadap hak kewarganegaraan mereka.
“Kami menghargai bantuan kemanusiaan negara Malaysia dalam memberikan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka.
“Pada masa yang sama, kami memahami bahawa Malaysia bukan merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1951 mahupun Protokol 1967.
“Dan segala urusan berkaitan pelarian adalah tertakluk kepada undang-undang serta dasar Kerajaan Malaysia,” jelasnya.
Menyentuh latar konflik, beliau memaklumkan bahawa genocide dan penderitaan masyarakat Rohingya bermula sejak tahun 1942, manakala gelombang pelarian berlaku sejak 1978.
Sejak itu, jelas Rahimullah, masyarakat Rohingya telah mendapat perlindungan di lebih 20 negara termasuk Bangladesh, Arab Saudi dan Pakistan.
“Perlindungan itu diberikan susulan pelbagai bentuk penindasan seperti pembunuhan, pengusiran, pembakaran, rogol serta penafian kewarganegaraan di tanah air sendiri,” ujarnya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 40 yang menyentuh golongan yang diusir dari kampung halaman tanpa alasan yang benar kerana hanya beriman kepada Allah.
Pasar Borong Selayang
Berhubung dakwaan tular mengenai Pasar Borong Selayang, Rahimullah menafikan sekeras-kerasnya bahawa pasar tersebut dikuasai atau didominasi oleh masyarakat Rohingya.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa, dakwaan itu tidak tepat kerana pasar berkenaan turut melibatkan pelbagai etnik dari Myanmar.
“Kami menyeru semua pihak supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat dan hanya merujuk kepada sumber yang sahih sebelum menyebarkannya,” serunya.
Beliau turut menegaskan bahawa, sebarang kesalahan undang-undang oleh mana-mana individu perlu dipertanggungjawabkan secara peribadi, dan tidak wajar dikaitkan dengan seluruh komuniti Rohingya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa, mana-mana individu, persatuan atau akaun media sosial yang mendakwa mewakili masyarakat Rohingya tidak boleh dianggap sebagai wakil rasmi kerana kewujudan akaun palsu yang semakin berleluasa.
Rahimullah turut merujuk firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 8 yang menuntut umat berlaku adil serta tidak dipengaruhi kebencian terhadap sesuatu kaum.
Sehubungan itu Majlis Ulama Rohingya (MUR), ujar beliau, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat negara ini atas segala bantuan, sokongan dan keprihatinan yang telah diberikan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas peluang pendidikan agama yang diberikan kepada anak-anak komuniti Rohingya, yang disifatkan amat bermakna dalam membentuk akhlak serta masa depan mereka.
Pada masa sama, beliau mengakui wujud kelemahan dalam kalangan segelintir anggota komuniti yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia, dan memohon maaf atas perkara tersebut.
Beliau menambah bahawa, pihaknya komited untuk memperbaiki kelemahan tersebut bagi memperkukuh keharmonian serta hubungan baik dengan rakyat Malaysia.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran berita palsu, fitnah dan ucapan kebencian, selain terus memelihara keharmonian masyarakat.
“Kami komited untuk terus menghormati undang-undang negara, memupuk keharmonian masyarakat serta menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan di Malaysia.
“Kami menyeru semua pihak agar sentiasa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih, mengelakkan penyebaran berita palsu, fitnah dan ucapan kebencian, serta bersama-sama memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











