
KUALA LUMPUR: PAS menepis sebaran propaganda politik yang cuba membina persepsi negatif kononnya parti itu tidak setia kepada rakan muafakat, gemar mencetuskan perpecahan dan sentiasa menjadi punca berakhirnya sesebuah jajaran politik.
Ustaz Nushi Mahfodz menegaskan bahawa sejarah penamatan kerjasama politik PAS dari tahun 1977 hingga 2026 sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu dengan menyembunyikan fakta serta punca sebenar sesuatu hubungan itu berakhir.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu menyatakan bahawa bagi PAS, kerjasama politik bukanlah matlamat akhir melainkan wasilah (perantaraan) untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan maslahat umat berpandukan Surah al-Ma’idah, ayat 2.
Tuduhan PAS tidak konsistenan dalam mengekalkan hubungan politik kembali hangat diperdebatkan susulan tindakan drastik PAS Pusat mengumumkan pemberhentian kerjasama politik dengan BERSATU pada 8 Jun lalu.
Keputusan ini mengejutkan landskap politik tanah air memandangkan kedua-dua parti merupakan tiang seri utama bagi Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pesaing utama pakatan kerajaan memerintah ketika ini.
Kritikan mula dilemparkan oleh blok lawan yang menggunakan naratif sejarah silam bagi menggambarkan PAS sebagai sebuah organisasi yang sukar mengekalkan persefahaman politik jangka panjang dengan mana-mana sekutu.
Fakta sejarah kerjasama PAS sejak 1977
Ustaz Nushi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih memperincikan empat siri peristiwa besar bagi memperbetulkan salah faham berhubung kronologi politik membabitkan PAS sebelum ini.
Beliau menafikan PAS keluar Barisan Nasional (BN) tahun 1977, sebaliknya disingkirkan selepas Ahli Parlimen PAS menentang Akta Kuasa-Kuasa Darurat Kelantan demi mempertahankan prinsip federalisme dan mandat rakyat daripada campur tangan Pusat.
Manakala ketika bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tahun 1996 katanya, gabungan ini runtuh bukan disebabkan PAS, melainkan atas keputusan Semangat 46 yang memilih untuk membubarkan diri mereka sendiri bagi kembali menyertai Umno.
PAS juga tegasnya, konsisten pertahan dasar Islam ketika bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif (2001), tetapi DAP yang bertindak keluar kerana prinsip PAS, kemudian hubungan ketika Pakatan Rakyat (2015) terbatal kerana perbuatan-perbuatan DAP dan PKR.
Begitu juga katanya ketika dalam Muafakat Nasional (2022) di mana PAS menolak politik ultimatum Umno yang meletakkan syarat ketat supaya memutuskan hubungan dengan BERSATU sedangkan memilih pendekatan penyatuan ummah yang lebih luas dan inklusif.
Mengulas mengehntikan kerjasama dengan BERSATU (2026), Nushi mendedahkan bahawa isu utama bukanlah sekadar krisis dalaman melanda parti sekutunya itu, tetapi kegagalan melebarkan pengaruh PN sebagai blok alternatif yang keterhadapan.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan sesetengah pihak menutup pintu penyatuan kepada parti-parti berasaskan aspirasi perubahan yang lain telah menyebabkan gabungan berkenaan menjadi semakin mengecil dan eksklusif.
“Ramai cuba menggambarkan keputusan PAS sebagai tindakan meninggalkan BERSATU. Hakikatnya jauh lebih besar daripada itu. Isu sebenar bukan sekadar krisis dalaman BERSATU.
“Isu sebenar ialah kegagalan menjadikan PN sebagai platform yang benar-benar terbuka kepada penyatuan kuasa politik lebih besar. PAS berpandangan bahawa perjuangan membina blok alternatif nasional memerlukan keterangkuman lebih luas.
“Parti-parti seperti PEJUANG, IMAN dan pelbagai kelompok lain yang mempunyai aspirasi perubahan sepatutnya diberi ruang untuk menyertai platform bersama.Namun ruang tersebut tidak dibuka dan pendekatan menjadi semakin eksklusif.
“Gabungan yang sepatutnya berkembang menjadi semakin mengecil. Dalam masa yang sama, krisis dalaman BERSATU terus menjadi perhatian umum.
Maka persoalan besar yang perlu dijawab ialah bagaimana sebuah gabungan mahu berkembang jika pintu penyatuan ditutup? Bagaimana sebuah platform mahu menjadi wadah rakyat jika penyertaan terus dihadkan?” soal beliau.
Teguh pada prinsip, anjal pada strategi
Nushi mengambil iktibar daripada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagi menjelaskan perbezaan ketara antara kaedah penyesuaian strategi politik dengan tindakan menggadaikan dasar perjuangan agama demi mengejar kuasa atau jawatan.
“Strategi boleh berubah. Wadah boleh berubah. Gabungan boleh berubah. Tetapi prinsip tidak boleh dikorbankan. PAS telah bekerjasama dengan pelbagai pihak sepanjang sejarahnya. Namun PAS tidak pernah meminda dasar Islamnya untuk mendapatkan kuasa.
“PAS tidak pernah menukar prinsipnya untuk mengejar jawatan. PAS tidak pernah mengorbankan dasar perjuangan semata-mata untuk kekal berada dalam sesuatu gabungan. Sebab itu sehingga hari ini PAS masih berdiri. Gabungan datang dan pergi.
“Parti-parti lahir dan tenggelam. Tokoh politik muncul dan hilang. Tetapi PAS terus wujud kerana asas perjuangannya tidak dibina atas individu atau kuasa. Ia dibina atas prinsip. Dalam politik, prinsip dipertahankan lebih bernilai daripada jawatan yang dipinjamkan,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/6/2026











