‘PAS For All’: Kemasukan tokoh bukti parti semakin inklusif

- Advertisement -

KEMASUKAN tokoh-tokoh politik dan masyarakat ke dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak kebelakangan ini bukan sekadar fenomena biasa, malah menjadi petunjuk jelas bahawa parti tersebut semakin terbuka dan tidak lagi dilihat eksklusif kepada kelompok tertentu.

Terbaru 15 tokoh telah diumum, antara nama yang mencuri perhatian ialah Datuk Dr Rafie Malek, bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan ADUN Ampangan dari PKR, serta Datuk Mohd Zaid Ibrahim, mantan Menteri Undang-Undang yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara.

Turut menyertai gelombang ini ialah tokoh berpengaruh lain seperti Dato’ Hamidah Othman, bekas Exco Perak dan mantan Naib Presiden Bersatu, serta Dato’ Muqorrobin Mokhtaruddin, bekas pemimpin Pemuda Umno dan juga pendaki Everest.

Dalam kalangan akademik dan profesional pula, penyertaan Prof Dr Mohd Nasir Ibrahim, mantan Pengerusi FINAS dan Naib Rektor ASWARA, bersama Dr Rosli Yaakup dan Dr Md Nizam Baharom, memperlihatkan keyakinan golongan intelektual terhadap hala tuju parti PAS.

Sejak penubuhan pada tahun 1951, PAS telah melalui pelbagai fasa perkembangan. Bermula daripada sebuah gerakan ulama kepada sebuah parti politik nasional yang lebih matang dan inklusif. Kemasukan tokoh berprofil tinggi ini memberi isyarat bahawa parti ini semakin menjadi pilihan pelbagai latar belakang kepimpinan.

Fenomena ini tidak terhenti kepada individu tertentu sahaja, bahkan disertai ribuan ahli baharu setiap bulan yang melihat PAS sebagai platform perjuangan yang lebih luas.

Perkembangan ini memperkukuh naratif bahawa PAS bukan sekadar parti untuk kelompok tradisional, tetapi sebuah wadah terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada agenda pembangunan negara berteraskan nilai Islam.

PAS sejak awal tidak meletakkan halangan ketat dari sudut latar belakang sosial atau profesional, selagi individu tersebut menerima dasar dan perlembagaan parti. Prinsip ini selari dengan kenyataan bahawa PAS bukan parti eksklusif, sebaliknya bersifat inklusif dan terbuka kepada semua yang ingin bersama dalam perjuangan.

PAS sering dilabel sebagai parti yang bersifat tertutup. Namun realiti semasa menunjukkan sebaliknya. Kemasukan pelbagai tokoh sama ada dari latar politik, profesional mahupun aktivis masyarakat telah mengubah persepsi tersebut secara beransur-ansur.

Apa yang lebih penting, keterbukaan ini menunjukkan kematangan PAS dalam mendepani lanskap politik moden yang menuntut pendekatan lebih inklusif, progresif dan merentasi sempadan tradisional. Dengan perkembangan ini, slogan “PAS for All” bukan lagi sekadar retorik, tetapi semakin diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan realiti.

Kepelbagaian latar belakang ahli dan kepimpinan memberi kekuatan baharu kepada parti untuk lebih relevan dalam masyarakat majmuk Malaysia. Kesimpulannya, kemasukan tokoh-tokoh ke dalam PAS bukan sahaja memperkukuh organisasi, tetapi juga menjadi simbol transformasi sebuah parti yang semakin terbuka daripada sebuah gerakan tradisional kepada sebuah parti nasional yang inklusif, dinamik dan bersedia menghadapi masa depan!

Oleh:
ABU FAWWAZ – HARAKAHDAILY 14/6/2026

- Advertisement -

- Advertisement -