PAS siap siaga PRU16 susulan henti kerjasama BERSATU

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan PAS Pusat menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU, merupakan tindakan yang tegas dan amat wajar, demikian kata Ketua Dewan PAS Negeri Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Hamid.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah tepat berikutan beberapa penelitian telah dilakukan secara mendalam sebelum ini, bagi mempertimbangkan maslahat politik yang lebih besar.

- Advertisement -

“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS khususnya di Kedah mendukung penuh terhadap keputusan yang telah diambil oleh PAS Pusat ini.

“Malah keputusan ini juga adalah pendirian yang telah dikemukakan oleh Majlis Syura Ulama berkaitan kedudukan politik PAS dengan parti berkenaan,” kata beliau pada kenyataannya.

Menurut Ku Muhyi lagi, tindakan menghentikan kerjasama dengan BERSATU tidak bermakna PAS menutup kerjasama atau menghadkannya dengan parti-parti lain.

Sebaliknya kata beliau, PAS bersedia membentuk kerjasama politik melalui ruang yang lebih besar, berstrategik serta bersifat jangka panjang.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS ujarnya, sentiasa memberi komitmen positif dan menyokong apa juga ketetapan yang dibuat oleh PAS Pusat sejajar dengan situasi politik semasa.

“Dewan Pemuda PAS juga akan sentiasa siap siaga bersama jentera anak-anak muda di Kedah untuk sekali lagi mencipta sejarah melakar kemenangan terbesar di negeri ini,” tambah beliau.

Justeru itu, Ku Muhyi turut menyeru kepada semua ahli Dewan Pemuda PAS setiap peringkat serta para penyokong, agar turun beramai-ramai pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah akan diadakan Jumaat ini, bertempat di Kompleks PAS Kedah.

Kata beliau, komitmen semua pihak akan menjadi saksi kekuatan jentera parti. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -