
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menyatakan dukungan penuh terhadap keputusan PAS Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik serta beriltizam memperkukuh gerak kerja bagi menjayakan Misi PAS Teraju Pahang.
Ketuanya, Zulfadli Zakariah berkata, keputusan yang diumumkan Presiden PAS, kelmarin berhubung kerjasama politik antara PAS dan BERSATU dibuat melalui saluran organisasi parti yang sah serta mengambil kira kepentingan perjuangan Islam, penyatuan ummah dan masa depan rakyat.
Menurutnya, langkah menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU bukanlah pengakhiran kepada agenda penyatuan ummah, sebaliknya membuka ruang kepada pendekatan politik yang lebih strategik dalam menghimpunkan kekuatan umat Islam dan rakyat yang mahukan perubahan.
Katanya, PAS turut meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang mampu memperkukuhkan blok pembangkang serta menggembleng kekuatan rakyat bagi menghadapi pelbagai kegagalan kerajaan dalam mengurus ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan rakyat.
Tambah beliau, Pemuda PAS Pahang akan terus memperkukuhkan organisasi, memperluaskan pengaruh parti dalam kalangan generasi muda serta memperhebat agenda penerangan dan kebajikan bagi memastikan PAS terus mendapat kepercayaan rakyat.
“Keputusan PAS Pusat ini menjadi pemangkin baharu kepada seluruh jentera Pemuda PAS Pahang untuk menggandakan usaha dan memperkukuhkan gerak kerja parti di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, sebagai sayap parti, Pemuda negeri akan terus mara ke hadapan dengan gerak kerja yang lebih tersusun bagi memastikan PAS berada pada kedudukan terbaik untuk memimpin negeri ini.
Justeru, tegasnya, seluruh kekuatan anak muda akan digerakkan bagi memperluaskan pengaruh parti dalam masyarakat serta menterjemahkan gelombang perubahan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-16.
Beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong agar terus memperkukuhkan ukhuwah, merapatkan saf serta memberikan ketaatan kepada keputusan parti demi memastikan PAS terus kekal sebagai wadah perjuangan Islam yang diyakini rakyat. – HARAKAHDAILY 10/6/2026











