Kedudukan PN dibincang bersama PAS, GERAKAN, MIPP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan bersama parti komponen gabungan itu, khususnya PAS, GERAKAN dan MIPP, dalam satu pertemuan yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, PAS kekal komited terhadap politik kerjasama pelbagai kaum serta pendekatan politik matang dan sejahtera.

“PAS menghargai sikap positif GERAKAN dan MIPP dalam konteks PN. Kedua-dua parti ini mempunyai peranan besar yang boleh dimainkan dalam negara,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Annuar menjelaskan, PAS akan memastikan setiap tindakan susulan dalam PN dibuat berasaskan Perlembagaan PN dan bukannya dipengaruhi sikap ‘superiority ’individu atau mana-mana parti.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan musyawarah antara PAS, GERAKAN dan MIPP sudah diatur dan akan disegerakan dalam masa terdekat.

Mengulas keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU, Annuar menegaskan langkah itu diambil demi kebaikan bersama selepas pelbagai usaha dilakukan, namun keadaan masih tidak berubah.

Beliau berpandangan keputusan berkenaan tidak bersifat peribadi terhadap mana-mana pihak, sebaliknya dibuat setelah mengambil kira keadaan semasa.

Nothing personal. Keputusan PAS memberhentikan kerjasama politik dengan BERSATU demi kebaikan bersama setelah pelbagai usaha dibuat tetapi keadaan tidak berubah.

“Walau bagaimanapun keputusan setakat ini hanya melibatkan taawun antara dua parti dan sama sekali tidak melibatkan PN,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin PAS telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang turut memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak berkaitan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-BERSATU.

Pada masa sama, menurut Tuan Guru, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah menjelang pilihan raya akan datang, selain menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -