‘Bila politik pilih jalan berbeza, agama tetap menyatukan’

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Hubungan ukhuwah yang terjalin antara ahli dan kepimpinan PAS, BERSATU dan SRIKANDI perlu terus dipelihara meskipun perkembangan politik semasa menyaksikan kedua-dua parti memilih haluan yang berbeza.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Zakiah Tukirin menegaskan, politik hanyalah wasilah atau perantaraan, namun matlamat untuk memperjuangkan kebaikan dan menegakkan syiar agama tetap kekal sama.

- Advertisement -

“Mulai hari ini, walaupun takdir politik membawa kita memilih jalan dan wadah yang berbeza, prinsip dasar kita tidak pernah berubah.

“Politik hanyalah wasilah (perantaraan), namun destinasi kita untuk memperjuangkan kebaikan dan menegakkan syiar agama tetap sama.

“Di atas jalan agama ini, kita tetap kekal bersama dan saling mendoakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar sahabat-sahabat dalam BERSATU dan SRIKANDI terus maju jaya dalam perjuangan masing-masing.

“Semoga ukhuwah yang terbina atas paksi iman ini terus mekar tanpa dibatasi oleh sempadan politik, insya-Allah,” tambahnya.

Zakiah berkata demikian bagi mencoretkan pandangan khusus buat rakan-rakan seperjuangan daripada BERSATU dan SRIKANDI yang pernah berada dalam satu saf perjuangan sebelum ini.

Menurut beliau, penghargaan tidak terhingga wajar diberikan kepada seluruh saf kepimpinan dan ahli BERSATU serta SRIKANDI atas ruang kerjasama dan gandingan bahu yang terjalin sepanjang tempoh bersama.

Beliau mengakui segala pengalaman, suka duka serta ujian yang ditempuhi sepanjang perjalanan tersebut memberikan pelbagai pengajaran yang amat berharga.

“Pengalaman inilah yang mematangkan urusan dan tindakan kita pada hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa meskipun berdepan pelbagai dinamika dan badai politik yang mencabar, hubungan peribadi serta saf perjuangan yang dibina bersama kekal harmoni

“Kita membuktikan bahawa perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk bermusuhan.

“Kita memilih untuk sentiasa mengekalkan tali ukhuwah dengan menjaga lisan, memelihara adab, dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, PAS telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang turut memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak berkaitan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-BERSATU.

Pada masa sama, menurut Tuan Guru, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah menjelang pilihan raya akan datang, selain menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -