
BEBERAPA minggu lepas, saya diajak turun bersama rakan-rakan Jabatan Penerangan PAS Terengganu bagi meninjau persiapan awal jentera penerangan PAS di setiap DUN-DUN di Terengganu. Kali ini giliran N21, DUN Telemong yang berada dalam Parlimen Hulu Terengganu. Penyelarasnya, Mohd Safari Abu bersama Ketua Penerangan, Ustaz Yusof Abdullah, abang kepada Ustaz Mad Kecik telah menyambut kami bagi majlis tersebut.
Selepas penerangan diberikan berkenaan persiapan, bersoal jawab, permasalahan yang timbul, berjaya dikemukakan. Ada yang boleh diselesaikan dan ada juga yang perlu dibawa ke atas. Akan tetapi secara keseluruhan, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa, amat berpuas hati dengan laporan prestasi DUN. Untuk makluman, DUN Telemong dimenangi oleh calon BERSATU atas tiket PAS, Mohd Zawawi Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Awi.
Menyingkap semula sejarah DUN Telemong ini, ia adalah kubu kuat Umno sejak bermula ia diperkenalkan 1974. Pada tahun 1999, ketika mana PAS menang besar dengan 28 daripada 32 kerusi DUN, empat kerusi yang tercicir termasuklah Telemong yang dimenangi oleh Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, ayahanda kepada Tengku Haphiz, Ketua Pemuda Umno Terengganu. Tiga lagi DUN yang masih berjaya diselamatkan Umno ialah DUN Kemasik, Seberang Takir dan juga Ajil.
Majoriti sangat besar
Apabila kemenangan kembali PAS pada 2018, di dalam 10 kerusi milik Umno pada waktu itu Telemong dan Seberang Takir, masih berada dalam dakapan Umno. Menjadikannya kedua-duanya sebagai DUN yang belum pernah tewas kepada PAS. Pun begitu, Telemong yang dimenangi Dato’ Rozi Mamat masih hebat dengan memperolehi majoriti yang besar, 4159, walau dalam keadaan taufan kejatuhan BN membadai ketimbang Seberang Takir yang kekal bersama Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berjaya bertahan dengan majoriti 1884 sahaja.
Ada cubaan untuk menaikkan isu konon pembahagian tanah di Felcra Kuala Embong Tersat sebanyak 31 lot, diberikan kepada kroni PAS. Tetapi data membuktikan rupanya nama-nama keluarga ahli parti musuh PAS telah diletakkan beramai-ramai. Isu ini kemudiannya menjadi senjata yang memakan musuh PAS di DUN Telemong.
Secara geografinya Telemong adalah DUN yang terluas, boleh dilaksanakan solat jamak qasar, jika mahu dihabiskan jaraknya hujung ke hujung. Ada kampung yang tidak bertemu tanah keduanya dan terpaksa melalui DUN Kuala Berang untuk sampai ke sana, walaupun tidak terlalu jauh kedudukannya. Majoriti kawasannya ialah hutan termasuk Tasik Kenyir, sempadan tiga negeri Kelantan dan Pahang. Ada ramai pengundi dari kalangan orang asal. Pengundi di sini 99.00 peratus ialah Melayu.
Telemong tapak sejarah Terengganu
Telemong adalah kawasan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Terengganu di bawah lama Kerajaan Temir. Kampung Tanjung Baru pula ialah tapak permulaan Kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu di bawah naungan Sultan Zainal Abidin 1 pada 1708. Di Pasir Nering, terdapat makam Tok Gajah, ayahanda kepada Mat Kilau, dua sosok yang menentang Hugh Clifford pegawai British di Pahang.
Dan di Padang Kachung, Kuala Telemong pula, siapa yang boleh melupakan perjuangan ulama menentang Inggeris di Terengganu yang diketuai oleh Tuan Guru Abdul Rahman Limbong yang kemudiannya dibuang negeri ke Makkah. Semua ini dinukilkan dalam sejarah negara.
Namun, entah di mana silapnya, kesinambungan perjuangan agama itu tidak begitu gah di Telemong. Seperti ada ruang kosong antara zaman kegemilangan perjuangan itu dengan sistem pilihan raya moden ini. Ia bagaikan kaku dan sepi dari ruh perjuangan yang pernah ditandai oleh golongan pencinta agama itu. Telemong diwarisi oleh Umno yang langsung tiada kekuatan untuk menegakkan Islam supaya kembali kuat di situ.
Tidak pernah mengalah
Namun Islam umpama air yang mengalir. Jika dihalang pada laluan itu, ia akan mencari laluan lain untuk meneruskan alirannya. Dalam kita mencari para pejuang yang mahu menegakkan Islam itu, rupanya ada di dalam DUN Telemong segelintir insan yang berhati waja, sanggup menongkah arus, bangun menentang Umno bagi mendaulatkan Islam bersama PAS. Ia bukan tugasan mudah.
Majoriti undi yang dimenangi Umno amat mustahil bagi akal untuk diterbalikkan keputusan Telemong kepada PAS. Namun sekarang ia telah menjadi realiti hasil dari keringat dan air mata yang tidak kenal erti mengalah.
Jika tidak kerana keras jiwa mereka melawan Umno yang sentiasa mengugut dan menekan mereka, mungkin Telemong masih dalam genggaman Dato’ Rozi Mamat dan pasukannya. Bahkan, ada di kalangan orang PAS sendiri menjadikan impian pejuang PAS di Telemong untuk menang PRU sebagai lelucon. Sampai kiamat Telemong tidak menang, kata mereka. Tidak sedikit hati mereka terluka dengan sindiran dan perlian pedih itu.
Telemong juga terpaksa reda pengundi mereka untuk berhijrah ke DUN lain bagi membantu meningkatkan jumlah undian, paling kurang membuka peluang PAS menang di kerusi lain dalam beberapa PRU. Ini kerana prinsip negatif, ‘Nak mengundi PAS di Telemong buat apa? Dah tentu kalah’.
Yang tinggal hanyalah penunggu-penunggu setia ‘Bukit Uhud’ yang tidak pernah kenal erti mengalah. Mereka inilah akar yang begitu kuat menahan gelombang kebangkitan, bagaikan umbi buluh yang tidak tercabut walau taufan membadai. Mereka menjadi benih, menumbuhkan pula rebung yang baharu.
Tidak kendur berjuang
Kendatipun Telemong sentiasa menjadi DUN yang dijual kepada rakan tahaluf PAS, (S46, PKR dan BERSATU) namun para mujahid dan mujahidah PAS di sana tetap taat, walak, tidak melawan kehendak pimpinan, walaupun jauh di sudut hati mereka, mereka mahukan pimpinan PAS sebagai calon mereka. Biar kalah menang bersama.
Dan kini, walaupun ber’YB’kan orang BERSATU, mereka tetap memegang janji setia mereka, memberikan hormat kepada wakil yang dipilih rakyat, sebagaimana yang diarahkan pimpinan PAS Terengganu. Kerjasama mereka sangat kuat dengan Cikgu Awi dan begitu juga sebaliknya, Cikgu Awi sangat menghormati bantuan dari petugas-petugas PAS di Telemong. Mereka dengan penuh persefahaman mengagihkan peranan masing-masing.
Setia dan patuh kepada arahan ini dicemburui musuh PAS, ia tiada dalam jemaah mereka. Jika ada sekalipun, hanya kerana pangkat dan harta.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











