
KUALA TERENGGANU: Sebuah motosikal Honda Cub C70 yang menjadi kenderaan harian seorang pendidik kampung suatu ketika dahulu? kini menjadi simbol kepada lahirnya sebuah legasi pendidikan Islam yang telah bertahan selama 37 tahun.
PASTI Qaryah Tapu di Kuala Berang yang ditubuhkan pada tahun 1989 hasil usaha Allahyarham Mohamed Abdullah bersama beberapa penduduk Kampung Tapu, terus berkembang sehingga hari ini dan menjadi antara institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berjasa kepada masyarakat setempat.
Menurut anak Allahyarham, Aminuddin Mohamed, sebuah bangunan sederhana didirikan secara gotong-royong di atas tanah wakaf milik seorang penduduk kampung bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Bahagian bawah bangunan dijadikan kelas PASTI, manakala bahagian atas digunakan sebagai surau. Di sebelahnya pula dibina rumah keluarga pengasas.
“Kini, selepas 37 tahun, PASTI yang dahulu dibina dengan keringat penduduk kampung hampir mempunyai bangunan baharu hasil sumbangan orang ramai dan wakaf seorang bekas pelajarnya sendiri,” katanya menerusi satu perkongsian.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan itu membuktikan benih perjuangan yang ditanam puluhan tahun lalu terus memberi manfaat kepada masyarakat dan melahirkan generasi yang mendapat pendidikan Islam sejak usia muda.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham bapanya yang meninggal dunia pada 27 Mei lalu selepas menabur bakti dalam pembangunan pendidikan Islam di kawasan berkenaan.
“Jasadnya jasadnya telah pergi, amal jariahnya terus hidup melalui setiap anak yang belajar membaca al-Quran, mengenal Islam dan membesar di bawah bumbung PASTI.
“Sebuah bangunan boleh dibina dengan batu dan simen, tetapi sebuah legasi dibina dengan pengorbanan,” katanya. – HARAKAHDAILY
3/6/2026











