
KUALA TERENGGANU: Kejayaan pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli meraih podium ketiga dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di Mugello membuktikan anak Terengganu mampu mencipta nama di peringkat dunia.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian membanggakan itu adalah hasil kerja keras, disiplin serta pengorbanan besar yang dilakukan pelumba berkenaan bersama keluarga dan pasukannya.
“Tahniah buat anak jati Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli, saya mengikuti perkembangan beliau sejak usia yang masih muda lagi. Dari sebuah bakat kecil yang penuh potensi, kini beliau berdiri di pentas dunia membawa nama Malaysia dengan penuh berani dan disiplin.
“Kejayaan ini pasti lahir daripada kerja keras, pengorbanan ahli keluarga, pasukan, jurulatih serta semangat yang luar biasa daripada adik Danish.
“Hakim Danish telah membawa mesej penting kepada generasi muda negara bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, fokus dan keberanian untuk bermimpi lebih besar daripada kebiasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kejayaan tersebut turut menjadi inspirasi kepada generasi muda negara.
“Hakim Danish telah membawa mesej penting kepada generasi muda negara bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, fokus dan keberanian untuk bermimpi lebih besar daripada kebiasaan,” katanya.
Beliau berharap pelumba kelahiran Terengganu itu terus mengekalkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia dalam saingan antarabangsa.
“Malaysia bangga dengan anda. Syabas Hakim Danish,” katanya.
Terdahulu, pelumba berusia 19 tahun kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu mencipta sejarah apabila menghadiahkan podium sulung buat Malaysia musim ini selepas menamatkan perlumbaan Moto3 GP Itali di tempat ketiga.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu turut menerima kelebihan apabila dinaikkan ke petak pertama perlumbaan susulan pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, tidak cergas untuk beraksi.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hakim Danish yang mempamerkan tunggangan konsisten dan bertenaga sepanjang perlumbaan sebelum berjaya menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik. – HARAKAHDAILY 3/6/2026











