Ahmad Samsuri gesa siasatan telus tragedi jalan raya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh susulan dua kemalangan jalan raya, masing-masing di Marang, Terengganu dan Simpang Renggam, Johor baru-baru ini

Beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kedua-dua kemalangan jalan raya.

- Advertisement -

Beliau berkata, tragedi itu amat menyentuh hati rakyat kerana melibatkan soal keselamatan awam serta masa depan anak-anak yang menjadi harapan keluarga dan negara.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Al-Fatihah buat semua mangsa yang terkorban,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan pada Ahad, empat maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, berhampiran Penjara Simpang Renggam.

Kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan beberapa kenderaan termasuk Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes-Benz, BMW dan Toyota Vios.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33; Semek Mat Soh, 73; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10. Kesemua mereka beralamat di Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional turut berkata, tragedi seperti itu sangat menyentuh hati rakyat kerana melibatkan soal keselamatan awam dan masa depan anak-anak.

“Saya berharap siasatan dijalankan secara telus serta tindakan sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang.

“Dalam masa sama, aspek penguatkuasaan, pemanduan tanpa lesen dan keselamatan jalan raya perlu diberi perhatian lebih serius agar tragedi seperti ini tidak terus berulang.

“Keselamatan rakyat di jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh diambil mudah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2026

- Advertisement -