Teraju Pahang: Siapa bakal Menteri Besar dari PN?

- Advertisement -

SEHARI dua ini keluar poster bancian bakal Menteri Besar Pahang, diletakkan gambar YB Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan gambar saya. Telahan itu mungkin atas sifat jawatan tertinggi dalam parti, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden PAS dan saya selaku Pesuruhjaya PAS negeri.

- Advertisement -

Saya baca semua komen, ada yang menjawap mengikut soalan iaitu “siapa bakal Menteri Besar Pahang?” dan ada juga dalam bentuk komentar yang baik dan tidak kurang juga yang menghentam dan menghina termasuk terhadap saya, tak mengapa saya lansung tak berkecil hati, teringat pepatah kawan saya seorang mekanik. Satu hari saya masuk ke bengkelnya hingga baju saya ada colekan hitam terkena minyak hitam, dia kata kat saya, ada satu pepatah “kalau takut terkena minyak hitam jangan masuk ke dalam bengkel”, saya dan dia sama-sama ketawa. Ya betul, kalau jenis manusia mudah “berlendir” jangan masuk politik.

Pertama: Dalam PAS jawatan menteri besar bukan jawatan yang wajib dipilih dari kalangan pimpinan tertinggi parti, siapa sahaja akan dipilih walaupun tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti jika sekiranya ia layak. MB Kelantan, Kedah, Terengganu semuanya bukan Pesuruhjaya dan pimpinan paling tinggi PAS. Pilih pemimpin tertinggi sebagai PM atau MB bukan ada dalam perlembagaan PAS.

Kedua: “Ada juga yang komen bahawa ia jawatan imbuhan dari hasil kerja kuat dan pengorbanan dalam parti”. Semua ahli PAS berkorban, sama ada pemimpin atau ahli biasa, malahan ahli biasa kadangkala lebih besar pengorbananya terhadap parti sama ada dengan tenaga atau harta. Jawatan MB bukan jawatan imbuhan kepada pemimpin tertinggi PAS sebagaimana ada parti yang bersifat demikian kerana mereka telah berhabis tenaga dan duit untuk mendapat jawatan tertinggi di peringkat parti, maka semestinya dialah yang menjadi MB. Pemimpin PAS hanya berhabis tenaga dan duit untuk parti tapi tidak pernah berhabis duit untuk mendapat jawatan dalam parti, Maka tidak timbul jawatan MB itu sebagai imbuhan. PAS Pusat akan mencalonkan nama bakal MB, kemudian terserah kepada pihak istana, oleh kerana itu isu “siapa”? tidak timbul.

Ketiga: ADUN Pahang dari PN ada 17 orang, masing-masing ada kepakaran dan ada kelulusan dalam bidang masing-masing. Jjika ditanya kepada saya setuju atau tidak untuk Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai MB Pahang, pastinya saya sangat setuju kerana dia dari PAS dan beliau orang yang berpengalaman dalam urusan pentadbiran dan banyak ciri-ciri lain yang ada pada beliau untuk melayakkan beliau menjadi MB Pahang dari PN. Namun PAS juga punya ADUN lain yang berkelayakan, maka tidak timbul sangat sebenarnya “siapa bakal MB Pahang”.

MB dari PN pasti akan diumumkan dan dilantik secara rasmi setelah menang dan berjaya membentuk kerajaan. Bila? Semuanya ada dalam ilmu Allah SWT. Cuma kami sedang berusaha dan bekerja untuk itu. Siapa pun nanti yang akan dipilih adalah yang berkelayakan, mempunyai standard untuk memimpin dan memiliki dua ciri utama untuk memimpin iaitu Al-Qawiy (kuat/kompeten): memiliki kekuatan fizikal, mental, ilmu, kemahiran, dan ketegasan untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Al-Amin (amanah/jujur): Mempunyai integriti yang tinggi, boleh dipercayai, dan bertanggungjawab.

Insya-Allah semua ADUN yang ada sekarang juga layak untuk menjadi MB. Daripada 17 ADUN PN Pahang sekarang ini, ada 16 ADUN yang layak untuk jadi MB, hanya seorang sahaja yang tidak berkelayakan untuk menjadi MB iaitu ADUN Tanjung Lumpur, sebabnya hanya saya seorang sahaja yang tahu kelemahan ADUN Tanjung Lumpur, maka diharapkan jangan lagi letakkan gambar ADUN Tanjung Lumpur sebagai bakal MB, saya katakan sekali lagi bahawa dia tidak layak.

YB DATO’ USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 2/6/2026

- Advertisement -