BERSATU jejas PN: MSU beri mandat PAS Pusat bertindak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) PAS menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis dan konflik dalaman BERSATU yang dilihat telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Majlis Syura ‘Ulamak memutuskan untuk menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan dasar, prinsip, dan kepentingan perjuangan parti tersebut.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya meneliti laporan terperinci pimpinan PAS Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian daripada pakar-pakar penyelidik berhubung perkembangan politik mutakhir.

“Majlis Syura ‘Ulamak PAS mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman BERSATU yang dilihat telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju Perikatan Nasional dalam membawa agenda penyatuan ummah.

“Dalam hal ini, MSU menegaskan bahawa PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendokong agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya.

Hubungan kerjasama antara PAS dan BERSATU dalam blok PN dilaporkan sedang berhadapan dengan ujian getir ekoran beberapa siri konflik dalaman yang melanda kepimpinan BERSATU di peringkat nasional dan negeri.

Krisis ini merangkumi isu peralihan sokongan beberapa Ahli Parlimen, perbezaan strategi dalam mendepani isu-isu nasional, serta ketidakstabilan struktur kepimpinan dalaman parti sekutu PAS itu.

Keadaan ini telah mencetuskan polemik mengenai kelestarian gabungan PN untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, memandangkan PAS kini dilihat sebagai komponen yang memiliki jentera dan sokongan akar umbi paling dominan dalam gabungan berkenaan.

Dato’ Ahmad menjelaskan bahawa setiap keputusan politik yang diambil oleh PAS mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, serta keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan berprinsip.

Beliau menegaskan bahawa PAS tidak akan berkompromi dalam soal kestabilan negara dan agenda memperkasakan penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti tersebut.

“PAS berpandangan bahawa setiap keputusan politik mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, kestabilan negara dan keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan politik yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, Majlis Syura ‘Ulamak telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Majlis Syura ‘Ulamak turut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti agar terus tenang serta mematuhi adab berjemaah dalam mendepani sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi kelak.

“Majlis Syura ‘Ulamak menyeru seluruh pimpinan, ahli dan pendukung perjuangan agar terus berpegang kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada seluruh pimpinan dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, ummah dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -