PN sedia masuk gelanggang PRN Johor – Dr Sam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi kepentingan rakyat serta masa depan negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan terhadap hala tuju pentadbiran negeri.

Menurut beliau, pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya platform untuk menawarkan penyelesaian terbaik terhadap pelbagai isu yang membelenggu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan integriti pentadbiran.

“Perikatan Nasional akan memasuki gelanggang pilihan raya ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan, jentera serta ahli parti komponen PN agar memperkukuhkan gerak kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, semangat kebersamaan, disiplin dan kesatuan tindakan perlu diperkasakan bagi memastikan jentera gabungan itu dapat berfungsi dengan lebih berkesan sepanjang tempoh kempen.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak akan membolehkan PN terus menawarkan pentadbiran yang lebih baik untuk Johor dan Malaysia.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, DUN Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya. – HARAKAHDAILY 1/6/2026

- Advertisement -