Malaysia perlukan Pelan Ketahanan Ekonomi Nasional

Elak terus terperangkap dalam gelombang kenaikan kos

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyegerakan pembangunan Pelan Ketahanan Ekonomi Nasional bagi mendepani gelombang ekonomi luar jangka susulan konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kini memasuki bulan ketiga.

Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, perang yang tercetus pada penghujung Februari 2026 itu bukan lagi sekadar konflik geopolitik, sebaliknya telah memberi tekanan langsung kepada industri, perniagaan, dan kos sara hidup rakyat di Malaysia.

Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) menegaskan, gangguan di laluan strategik Selat Hormuz telah menjejaskan bekalan tenaga global sehingga menyebabkan harga minyak Brent melonjak melepasi USD100 setong.

“Perang yang tercetus pada penghujung Februari 2026 bukan lagi sekadar konflik geopolitik di Asia Barat kerana selepas tiga bulan, kesannya mula dirasai secara langsung oleh ekonomi dunia termasuk Malaysia.

“Apa yang pada awalnya dianggap sebagai krisis luar negara kini telah berubah menjadi tekanan ekonomi yang semakin menghimpit industri, perniagaan dan kehidupan rakyat.

“Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melaporkan pengeluaran minyak dunia merosot secara mendadak sebanyak 10.1 juta tong sehari pada Mac 2026, antara gangguan bekalan terbesar dalam sejarah moden.

“Bekalan global jatuh kepada sekitar 97 juta tong sehari manakala lebih 14 juta tong sehari bekalan minyak Teluk terjejas akibat konflik dan penutupan laluan perdagangan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketegangan antara AS dan Iran memuncak pada awal tahun 2026, membawa kepada gangguan logistik maritim di Selat Hormuz yang merupakan nadi utama bekalan minyak dunia.

Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan global turut menerima impak inflasi import, walaupun juga merupakan negara pengeluar minyak.

Tetapi sistem logistik domestik yang amat bergantung kepada diesel menyebabkan kenaikan kos pengangkutan memberi kesan berantai kepada harga barangan keperluan.

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar seperti skim BUDI95, namun keberkesanannya mula dipersoalkan apabila beban fiskal negara semakin meningkat akibat kenaikan harga pasaran global yang berterusan.

Kos bahan api himpit sektor logistik dan PKS

Dr Haim Hilman menjelaskan, walaupun Malaysia negara pengeluar petroleum, harga RON95 tanpa subsidi pernah mencecah RM4.07 seliter, manakala diesel di Semenanjung meningkat sehingga RM4.97 seliter.

Peningkatan diesel hampir 60 peratus itu memberi kesan ganda kepada sektor logistik, pembinaan, dan PKS kerana diesel merupakan nadi pengangkutan bahan mentah dan makanan.

“Hakikatnya, hampir semua barang yang digunakan rakyat setiap hari bergerak menggunakan lori. Apabila lori menanggung kos yang lebih tinggi, rakyat akhirnya membayar harga yang lebih mahal.

“Ramai beranggapan subsidi BUDI95 pada harga RM1.99 seliter telah melindungi rakyat sepenuhnya. Hakikatnya tidak. Walaupun sebahagian pengguna masih menikmati subsidi petrol, rakyat tetap membayar kos yang lebih tinggi.

“(Iaitu) melalui kenaikan harga makanan, perkhidmatan, logistik, sewaan, bahan binaan dan keperluan harian,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.

Beliau turut mengkritik pendekatan kerajaan yang dianggap terlalu bersifat reaktif dan jangka pendek berikutan mendedahkan laporan menunjukkan perbelanjaan subsidi bahan api kini melonjak ke paras RM6 hingga RM7 bilion sebulan dan berisiko melepasi RM50 bilion jika krisis berlarutan.

“Pertama, pendekatan kerajaan masih terlalu bersifat jangka pendek dan reaktif. Kerajaan lebih banyak memberi respons kepada perubahan harga mingguan berbanding membangunkan strategi tenaga nasional yang benar-benar mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada kejutan pasaran global.

“Kedua, Malaysia masih belum mempunyai pelan kecemasan tenaga nasional yang jelas sekiranya konflik berpanjangan sehingga enam bulan atau setahun. Ketiga, sektor logistik dan PKS masih belum menerima perlindungan yang mencukupi walaupun mereka merupakan tulang belakang ekonomi domestik,” tambahnya.

Enam strategi reformasi struktur

Sebagai langkah penyelesaian, Dr Haim Hilman mencadangkan enam transformasi utama melibatkan keselamatan tenaga secara mempercepat agenda tenaga solar, sistem penyimpanan tenaga, dan biojisim.

Juga membangunkan Dana Penstabilan Tenaga Nasional untuk menampung kejutan harga masa hadapan, selain insentif sektor strategik dengan memperkenalkan bantuan khas kepada sektor logistik, pertanian, dan PKS.

Juga ke atas keterjaminan makanan menerusi pengurangan kebergantungan kepada inflasi import melalui pengeluaran domestik, selain memperkasakan sistem pengangkutan awam secara agresif di bandar utama.

Beliau juga menyarankan memperkukuhkan hubungan dan kepelbagaian dengan ASEAN, China, India dan Timur Tengah kerana kekuatan negara tidak harus diukur ketika dunia tenang, tetapi ketika negara mampu melindungi rakyatnya dalam gelora krisis.

“Kerajaan tidak boleh hanya menguruskan simptom melalui subsidi semata-mata. Malaysia memerlukan pembaharuan struktur yang lebih berani dan berpandangan jauh. Malaysia mesti membina ekonomi yang lebih tahan krisis, lebih berdikari dan lebih berdaulat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 1/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -