Keselamatan pengangkutan awam mesti jadi keutamaan negara

- Advertisement -

ANTHONY Loke Siew Fook, insiden LRT tergelincir ini soal keselamatan awam. Ini soal nyawa rakyat. Bukan perkara kecil.

Setiap hari ribuan rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk bekerja, belajar dan mencari rezeki. Apabila berlaku insiden seperti ini, rakyat mahu jaminan bahawa sistem pengangkutan negara benar-benar selamat, diselenggara dengan serius dan dipantau tanpa kompromi.

- Advertisement -

Nasib baik kali ini tiada kemalangan jiwa. Tetapi sampai bila kerajaan mahu bergantung kepada ‘nasib baik’?

Bayangkan jika kejadian berlaku pada waktu puncak dengan tren penuh sesak. Bayangkan jika ada nyawa melayang. Ketika itu sudah terlambat untuk bermain politik komunikasi dan mengadakan sidang media.

Negara maju bukan dibina dengan slogan, propaganda atau persembahan media. Negara maju dibina dengan kecekapan, disiplin pengurusan dan kemampuan menjaga keselamatan rakyat pada tahap paling asas.

Malangnya, rakyat melihat kegagalan demi kegagalan berlaku secara bertubi-tubi. Aerotrain rosak, KLIA banjir dan kini LRT pula tergelincir.

Ini bukan lagi isu terpencil. Ini mula menggambarkan kelemahan pengurusan infrastruktur dan budaya pentadbiran yang terlalu selesa dengan reaksi selepas krisis, bukan pencegahan sebelum krisis.

DAP sebagai parti yang berada dalam kerajaan dilihat begitu beria-ia memberi perhatian kepada isu UEC dan kandang babi, tetapi fokus kerja menyelesaikan isu rakyat tidak menjadi keutamaan.

Rakyat tidak perlukan menteri yang hanya pandai mengumumkan projek dan mengurus persepsi. Rakyat perlukan menteri yang mampu memastikan sistem benar-benar berfungsi dengan selamat dan berkesan.

Kerajaan perlu segera melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua sistem rel negara melibatkan pihak bebas dan pakar antarabangsa. Jadual penyelenggaraan mesti diumumkan secara telus dan dipantau ketat, bukan sekadar wujud atas kertas.

Kementerian juga perlu mewujudkan mekanisme pemantauan berkala yang boleh diaudit secara awam supaya rakyat tahu tahap keselamatan sebenar pengangkutan awam negara.

Sebarang kelemahan teknikal atau kecuaian kontraktor mesti disiasat secara terbuka dan tindakan tegas perlu diambil tanpa melindungi mana-mana pihak berkepentingan.

Selain itu, kerajaan perlu memberi fokus kepada budaya ‘preventive maintenance‘, bukan budaya tunggu rosak baru kelam-kabut mahu baiki. Infrastruktur awam tidak boleh diurus dengan mentaliti tampal bocor selepas banjir berlaku.

Jika kegagalan demi kegagalan terus berlaku tanpa perubahan yang meyakinkan, maka sudah tiba masanya YB Anthony Loke mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai tanda tanggungjawab moral dan pentadbiran.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 29/5/2026

- Advertisement -