
LUCU juga melihat keadaan PKR hari ini. Dulu bukan main lagi bercakap soal reformasi, demokrasi, integriti dan politik matang. Sekarang bila mesyuarat cabang berlangsung, rakyat tunggu bukan sebab mahu dengar idea bernas, tetapi mahu tengok siapa baling kerusi dulu. Parti reformasi akhirnya berubah jadi parti gusti.
Ketika ramai sibuk bercakap hubungan tegang antara PAS dan BERSATY, sebenarnya drama paling panas dalam negara sedang berlaku dalam rumah PKR sendiri. Bezanya PAS dan BERSATU masih bergaduh di luar pagar, tetapi PKR pula sudah terbakar dalam bilik tidur sendiri.
Apa yang berlaku dalam PKR sekarang bukan lagi krisis kecil. Ini sudah masuk tahap ‘kapal bocor tengah laut’. Akar umbi hilang hormat sesama sendiri, pimpinan bercakaran, penyokong mula malu hendak mempertahankan parti, manakala presiden pula kelihatan semakin hilang sentuhan terhadap parti yang pernah dibinanya dahulu.
Paling menarik apabila Nurul Izzah Anwar sendiri dilihat tenggelam timbul ketika parti sedang nazak. Konvensyen PKR di Johor berlangsung dalam suasana tegang, tetapi timbalan presiden pula ghaib. Orang mula tertanya-tanya, ini timbalan presiden ataupun tetamu jemputan bermusim?
Mula-mula Nurul diberi tugas besar mengurus pilihan raya Sabah. Akhirnya PH-BN kalah teruk sampai ramai ahli sendiri termenung panjang melihat keputusan. Lepas itu muncul semula sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR kononnya mahu memberi motivasi kepada pimpinan parti. Sekali keluar analisa, habis segala kelemahan PKR dibuka depan orang sendiri.
Yang paling pedih apabila kerusi Tambun yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim sendiri disebut sebagai kawasan yang sukar dipertahankan. Itu bukan lagi bunyi loceng amaran. Itu sudah bunyi siren kecemasan.
Kalau kubu presiden sendiri pun dianggap goyang, maknanya masalah PKR sudah sampai ke tulang.
Tidak lama selepas itu, Nurul Izzah pula digugurkan daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya Nasional dan digantikan dengan Amirudin Shari. Dalam bahasa mudah rakyat, itu bukan rombakan biasa. Itu tanda sudah hilang keyakinan.
Ramai mula nampak Nurul Izzah cuba membawa semula imej reformasi dan perjuangan rakyat, tetapi hala tuju PKR hari ini nampak semakin jauh daripada cerita asal reformasi. Parti itu sekarang lebih sibuk mengurus perebutan kuasa, jawatan dan survival politik sendiri daripada bercakap tentang masalah rakyat. Sebab itu ramai penyokong lama PKR mula rasa kecewa.
Belum sempat reda, muncul pula episod paling memeningkan kepala apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak keluar parti untuk tubuh parti baru bernama BERSAMA. Ini bukan sekadar keluar parti biasa. Ini ibarat orang dapur sendiri keluar buka restoran sebelah sambil bawa resipi sekali.
Yang membuatkan pucuk pimpinan PKR makin tidak senang duduk ialah apabila ahli-ahli sendiri mula berhijrah ke BERSAMA. Maknanya masalah PKR sekarang bukan lagi serangan musuh luar, tetapi rakyat dalam rumah sendiri sudah mula angkat kaki meninggalkan kapal yang semakin bocor.
Namun mungkin ada sedikit berita yang dianggap melegakan buat Anwar. Mula kedengaran desas-desus bahawa BERSATU mungkin akan memutuskan hubungan dengan PAS sebelum kembali bekerjasama dengan PKR bagi menghadapi PRU16. Berita inilah yang mungkin sedang ditunggu-tunggu Anwar sebagai tonik politik paling kuat untuk menghadapi PAS dalam pilihan raya nanti.
Dalam keadaan PKR semakin retak dan pengaruh BERSAMA makin membesar, PKR dilihat amat memerlukan ‘nyawa tambahan’ untuk terus bertahan. Sebab itu semakin ramai melihat jika benar berlaku kerjasama semula dengan BERSATU, ia bukan kerana kekuatan PKR, tetapi kerana parti itu sedang terdesak mencari talian hayat politik.
PKR sedar satu perkara, kalau pilihan raya lambat diadakan, lagi besar pengaruh BERSAMA. Lagi lama masa berjalan, lagi ramai ahli kecewa keluar parti. Dan lagi lama rakyat melihat pergaduhan dalaman PKR, lagi susah parti itu mahu menjual semula cerita reformasi kepada rakyat.
Akhirnya rakyat mula nampak hakikat sebenar. Parti yang dahulu kononnya mahu menyelamatkan Malaysia kini kelihatan semakin sibuk cuba menyelamatkan dirinya sendiri.
Adakah BERSATU akan kembali ke pangkuan Anwar?
DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 29/5/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











