Mengakar 30 tahun, lestari masa depan Sarawak

- Advertisement -

30 TAHUN telah berlalu

Di bumi yang paling luas ini iaitu negeri yang pada asalnya begitu asing dengan kehadiran Parti Islam Se-Malaysia atau PAS, sekumpulan anak watan dan pejuang kerdil melangkah setapak demi setapak didorong satu impian murni.

Bermula pada tahun 1996 di bawah naungan dan bimbingan Almarhum Ustaz Mansor Din, nama PAS mula dibawa masuk ke bumi Kenyalang ini.

Mereka sedar jalan yang bakal dilalui adalah penuh liku berbatu dan berduri. Mereka juga maklum bahawa mereka bakal berdepan dengan salah faham serta tembok prejudis yang sangat tebal dalam masyarakat ketika itu. Namun di situlah bermulanya satu lembaran sejarah dakwah dan perjuangan yang telah mereka rintis dengan penuh keikhlasan.

Obor perjuangan tetap dinyalakan

Apa pun dugaan akan dihadapi, namun obor perjuangan itu tetap dinyalakan dan tidak pernah padam. Itulah kekuatan semangat golongan awal perjuangan.

Hari ini setelah tiga dekad berlalu, titisan keringat dan air mata para pejuang generasi awal itu menjadi saksi nyata. PAS Sarawak bukan lagi sekadar nama asing yang kedengaran di corong radio atau ruang akhbar, sebaliknya ia telah tumbuh dan membesar menjadi sebatang pohon perjuangan yang rendang, teguh dan berbuah manis sempena menyambut ulang tahun ke-30 ini.

Ketua Penerangan PAS Sarawak merakamkan hasrat yang tersemai jauh di sudut hatinya agar PAS Sarawak terus mengakar kukuh di sanubari setiap lapisan masyarakat dan terus melestarikan khidmat bakti supaya kekal relevan membela nasib rakyat, selagi masa terus berjalan.

- Advertisement -

Tiga dekad menyemai kepercayaan di Bumi Kenyalang

Melihatkan PAS Sarawak hari ini, kita sedang membaca sebuah catatan perjuangan yang ditulis dengan dakapan pengorbanan iaitu pengorbanan yang tidak pernah didendang namun amat bernilai di sisi sejarah dan perjuangan di sisi rakyat.

Merentas badai dan prejudis 1996 hingga 2003

Mengimbau kembali Pilihan Raya Negeri ke-8 pada tahun 2001, ia merupakan satu tempoh yang penuh debaran dan cabaran besar buat Almarhum Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi iaitu Pesuruhjaya pertama PAS Sarawak serta seluruh jentera perjuangan awalnya. Bergerak aktif di kawasan Samariang, Sadong Jaya hinggalah ke Beting Maro pada waktu itu, mereka bukanlah sesiapa di mata pihak pemerintah.

Sungguhpun begitu, dengan kehadiran susuk tubuh yang sangat disayangi rakyat seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Almarhum Tuan Guru Dato Fadzil Muhammad Noor yang sanggup menyeberang lautan jauh meninggalkan keluarga semata-mata turun ke bumi Sarawak, memberi satu isyarat yang sangat jelas iaitu PAS datang ke sini bukan untuk merobohkan keunikan atau identiti Sarawak, sebaliknya hadir untuk menyemai benih-benih keadilan yang paling tulus dan suci.

Mengetuk pintu hati rakyat 2003 – 2015

Era demi era dilalui dengan ketabahan. Di bawah kepimpinan Almarhum Adam Ahid bermula tahun 2003 hingga 2009, kemudian diselangi Ustaz Othman Mustapha bermula tahun 2009 hingga 2010 sebelum diterajui kembali oleh Adam Ahid sehingga tahun 2015.

PAS Sarawak mula memahami satu hakikat besar iaitu kepercayaan rakyat tidak boleh dibina hanya di atas pentas ceramah atau ucapan berapi, tetapi ia perlu diraih dan khidmat terus sampai di atas lantai rumah rakyat.

Untukmu Sarawak

Bermula pada tahun 2014 lahirlah inisiatif besar Projek Untukmu Sarawak atau singkatannya ‘UMS’ di bawah kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak dengan sokongan padu seluruh barisan kepimpinan parti di setiap peringkat. Pembinaan jambatan, projek rakyat mini dan pelbagai jenis inisiatif dilaksanakan. Jentera parti mula meredah denai-denai sempit, menyeberangi sungai-sungai besar dan menyusur masuk ke ceruk-ceruk kawasan pedalaman.

Aktiviti di lapangan mengetuk pintu rumah penduduk terutamanya golongan daif dan kurang bernasib baik menghulurkan bantuan beras, makanan dan keperluan asas. Mereka memeluk bahu yang lesu dan mendengar luahan hati rakyat tanpa sesekali bertanya apa agama mereka, apa keturunan mereka atau logo mana yang mereka pangkah di kertas undi. Di situlah, di celah-celah senyuman anak kecil dan linangan air mata warga emas yang terharu, nama PAS mula melekat, bertunas dan mengakar kuat di dalam sanubari rakyat Sarawak.

Nafas baharu dan kematangan masa depan 2015 hingga kini

Setelah melalui fasa pemantapan di bawah pimpinan tokoh terdahulu seperti Jofri Jaraiee, kini PAS Sarawak melangkah gagah ke fasa baharu yang lebih dinamik dan bertenaga di bawah kemudi Pesuruhjaya yang baharu iaitu Mohamad Arifiiriazul Paijo. Kehadiran pimpinan yang masih muda, segar dan berwawasan ini membawa satu isyarat jelas kepada semua iaitu PAS Sarawak sedang melakukan satu transisi besar demi menyantuni selera dan jiwa generasi masa depan negeri ini.

Sambil meneruskan legasi memperjuangkan memorandum Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak yang secara konsisten dan berterusan mempertahankan hak Perjanjian Malaysia 1963 serta tuntutan hak royalti minyak sebanyak 20 peratus, komitmen terbesar PAS Sarawak di era ini tertumpu sepenuhnya kepada masa depan anak Sarawak. Rantaian pendidikan PASTI, SRITI dan SMITI terus dibina dan diperkembangkan. Bukan sekadar untuk memberi sekeping kertas sijil, tetapi matlamatnya jauh lebih besar iaitu membentuk jiwa muda Sarawak yang berakhlak mulia, jujur, berilmu dan berintegriti kerana merekalah benteng utama masa depan negeri ini.

Menjadi nadi kebajikan bila rakyat berduka

Hasrat Ketua Penerangan agar perjuangan ini kekal relevan bukan sekadar retorik politik atau teori di atas kertas semata-mata. Sebaliknya ia satu realiti yang hidup dan terasa, terserlah melalui jiwa anak muda beruniform merah daripada Jabatan Amal Malaysia Sarawak serta seluruh jentera Lajnah Kebajikan.

Apabila banjir mula naik, menenggelamkan kampung atau apabila api marak menjalar, mereka tidak pernah menunggu dipanggil atau disuruh. Tanpa lengah mereka menyingsing lengan baju meredah arus deras mengangkat warga emas dan kanak-kanak ke tempat selamat serta bertungkus lumus membersihkan sisa lumpur dan sisa musibah.

Bagi PAS Sarawak, setiap titisan air mata rakyat yang tumpah akibat kesusahan adalah satu tanggungjawab yang wajib dikongsi bersama. Melalui Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia, kami sentiasa berada di barisan hadapan membantu masyarakat dalam segenap aspek kebajikan tanpa mengira batas bangsa, agama mahupun warna baju politik. Inilah cara kami mendekatkan diri dan di situlah letaknya kepercayaan masyarakat terbina secara semula jadi.

PAS For All

Malah melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS, keindahan masyarakat majmuk Sarawak terus kami raikan dan kukuhkan. PAS membuktikan bahawa iman serta prinsip Islam yang kami bawa tidak pernah menjadi tembok pemisah, sebaliknya menjadi jambatan kasih sayang yang kukuh menghubungkan sesama manusia tidak kira asal usul bangsa dan agama. Slogan PAS For All bergema di setiap penjuru ceruk kawasan yang disinggahi.

Melestarikan masa depan Sarawak

Tiga puluh tahun telah berlalu. Anak kecil yang dahulunya duduk di barisan hadapan kelas PASTI yang pertama, kini mungkin sudah membesar menjadi jurutera, guru, pegawai kerajaan atau pemimpin masyarakat. Fokus utama PAS Sarawak ke hadapan di bawah pimpinan baharu adalah satu dan tunggal iaitu melahirkan lebih ramai anak muda tempatan yang berkaliber, profesional dan paling penting bersih daripada rasuah serta budaya kroni di pelbagai peringkat.

Sarawak adalah tanah yang sangat kaya dengan hasil bumi dan sumber alam. PAS berikrar akan kekal menjadi suara yang adil, suara pengimbang yang lantang demi memastikan kekayaan dan hasil bumi negeri ini benar-benar singgah ke dapur rumah rakyat biasa, bukannya hanya berkumpul di dalam poket golongan sang penguasa.

Terima kasih Sarawak kerana sudi menerima kehadiran kami dan perjuangan PAS ini.

Setinggi-tinggi tabik hormat dan air mata kesyukuran dirakamkan buat para pejuang generasi awal yang telah tiada. Tanpa langkah mereka yang sukar dahulu, tiadalah kedudukan kita yang utuh pada hari ini. Marilah kita bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat roh mereka moga dirahmati dan ditempatkan bersama dengan orang yang beriman.

Penghargaan jua kami tujukan buat seluruh saf kepimpinan terdahulu yang telah membina landasan perjuangan ini serta para petugas dan sukarelawan yang kekal istiqamah berkhidmat walaupun dalam keadaan sunyi dan serba kekurangan.

Terima kasih juga buat seluruh rakyat Sarawak yang sudi membuka pintu hati menerima kehadiran kami. Perjalanan ke hadapan masih jauh dan panjang dan malam-malam perjuangan mungkin akan menjadi lebih dingin serta mencabar.

Namun selagi nadi ini berdenyut di dada, obor khidmat bakti ini tidak akan kami biarkan padam. Seperti mana hasrat murni kepimpinan kami, PAS Sarawak akan terus mengakar, terus bertahan dan terus berjuang demi sebuah masa depan Sarawak yang lestari, makmur serta sentiasa diredhai Allah SWT.

HAMDAN SANI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sarawak
Tarikh: 26 Mei 2026 – HARAKAHDAILY 26/5/2026

- Advertisement -