Identiti bercampur jadi norma biasa keluarga Sabah

- Advertisement -

PUTATAN: Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata keunikan identiti masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya merupakan satu manifestasi kehebatan kekuasaan Tuhan yang perlu dihargai serta dipelihara melalui semangat perpaduan yang jitu.

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjaya PAS Sabah itu, realiti kehidupan rakyat negeri ini yang sangat rencam sehingga identiti bercampur menjadi norma biasa dalam sesebuah keluarga.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Mesra Kaamatan bersama penduduk setempat yang dianjurkan Biro Perpaduan Nasional Muslimat PAS negeri dengan kerjasama PAS kawasan Putatan di Restoran Cik Kiah di sini, semalam. (Foto atas)

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS negeri, Hendri Hamsah dan Norsah Bongsu serta Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Muhammad Akmal Othman.

Dr Aliakbar menambah dengan menyifatkan situasi di mana seseorang terkadang mempunyai keturunan bercampur daripada pelbagai suku seperti Dusun dan Bajau atau bangsa lain sebagai satu keunikan yang tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negeri ini.

Katanya, semangat saling mengenali antara satu sama lain, sama ada suku Bugis, Bajau, Brunei, Murut mahupun Dusun, masyarakat sebagai akan dapat hidup dengan aman tanpa musuh.

“Tuhan menjadikan manusia bersuku-suku dan berpuak-puak bukan untuk berbalah, tetapi untuk saling mengenali (lita’arafu),” ujarnya yang juga ADUN Karambunai.

Beliau turut menegaskan akan larangan untuk berpecah belah dengan keharmonian perlu sentiasa diusahakan di semua peringkat masyarakat.

Selain itu, ujarnya kepelbagaian wajah dan warna kulit yang wujud di Sabah, yang dianggarkan merangkumi lebih 30 hingga 40 etnik termasuk cabang-cabang kecil seperti Murut Timogun dan pelbagai jenis suku Dusun, merupakan bukti kebesaran Allah yang sangat luas. – HARAKAHDAILY 25/5/2026

- Advertisement -