Tekanan DAP: Jangan gadai masa depan pendidikan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan membuka laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai langkah yang berisiko menggadaikan masa depan pendidikan negara jika dibuat kerana tekanan politik.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa, berkata kerajaan tidak seharusnya berkompromi terhadap dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan Bahasa Melayu, kurikulum nasional serta agenda perpaduan negara.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menegaskan langkah itu bukan pengiktirafan penuh terhadap UEC, keputusan berkenaan tetap menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Jangan gadaikan masa depan pendidikan Malaysia kerana tunduk kepada tekanan politik DAP.

“Kerajaan tidak boleh sekadar menggunakan istilah ‘laluan khas’ atau ‘program tertentu’ untuk menutup kebimbangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohd Harun berkata, rakyat berhak mempersoalkan rasional kerajaan membuka laluan rasmi ke IPTA kepada sistem pendidikan yang berada di luar kerangka pendidikan kebangsaan.

“Jika bukan pengiktirafan, mengapa laluan rasmi dibuka?

“Jika ia hanya terhad, apakah jaminan ia tidak akan diperluaskan selepas ini?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO, PKR dan Amanah bersetuju dengan keputusan berkenaan jika ia dipengaruhi tekanan politik DAP.

Menurutnya, PAS Terengganu juga mengambil perhatian terhadap pandangan beberapa tokoh akademik yang menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan itu kepada dasar pendidikan negara.

Katanya, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, menyifatkan langkah itu sebagai keputusan politik yang boleh membuka ruang lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional.

Beliau berkata, pandangan Pakar Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad, juga perlu diberi perhatian kerana isu UEC berkait rapat dengan kedudukan Bahasa Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dasar pendidikan kebangsaan.

“Apabila pakar pendidikan sendiri memberi amaran, kerajaan tidak boleh menjawab isu ini dengan alasan politik semata-mata. Kerajaan mesti tampil dengan dasar yang jelas dan jaminan yang tegas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Harun turut menolak cubaan mengaitkan lepasan tahfiz dengan isu UEC bagi mempertahankan keputusan kerajaan.

“Jangan gunakan tahfiz sebagai perisai naratif untuk menutup pintu belakang UEC,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan calon lepasan UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Katanya, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -