
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Iran perlu terus memperkukuhkan hubungan menerusi solidariti ummah serta sokongan kemanusiaan terhadap rakyat Republik Islam itu yang berdepan tekanan perang dan sekatan antarabangsa.
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk ‘Malaysia dan Iran Bersama-sama Untuk Keseimbangan Ummah dan Pembebasan Palestin: Pengalaman Iran Sebelum dan Selepas Perang’.
Beliau berkata, Amerika Syarikat dan rejim Israel melancarkan perang baharu terhadap Republik Islam Iran pada 28 Februari lalu dengan tujuan menukar pemerintahan negara itu serta memaksa rakyat Iran menyerah kalah.
Katanya, serangan tersebut mensasarkan pemimpin tertinggi Iran, komander tentera, profesor universiti dan kawasan awam, namun usaha itu gagal disebabkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan serta kekuatan pasukan pertahanan negara.
“Mereka menjangkakan kemenangan dapat dicapai dalam masa singkat, namun gagal mencapai objektif perang. Selepas seminggu, mereka mula mencari jalan penyelesaian dan gencatan senjata,” katanya.
Menurut beliau, selepas konflik berlarutan selama 40 hari serta campur tangan beberapa negara sahabat termasuk Pakistan sebagai mediator, gencatan senjata akhirnya berjaya dicapai walaupun keadaan masih belum benar-benar stabil.
Dalam ucapannya, beliau turut mendedahkan statistik kemusnahan dan korban akibat perang berdasarkan laporan Bulan Sabit Merah Iran di mana sebanyak 12,563 bangunan musnah.
Angka itu jelasnya, termasuk 339 fasiliti perubatan selain infrastruktur awam, universiti, pusat pendidikan dan premis komersial, selain perang itu turut mengorbankan ramai orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Rakyat Iran mahukan keamanan, kestabilan ekonomi dan masa depan yang selamat untuk anak-anak mereka. Tiada siapa yang benar-benar menang dalam peperangan kerana rakyat biasa menjadi mangsa paling besar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan Republik Islam Iran tidak pernah memulakan peperangan terhadap mana-mana negara sejak ratusan tahun lalu dan hanya mempertahankan diri daripada ancaman luar serta sekatan berterusan selepas Revolusi Islam.
Menurutnya, keamanan berkekalan hanya dapat dicapai melalui penghormatan bersama, diplomasi, pembinaan kepercayaan dan rundingan yang adil tanpa tekanan mana-mana pihak.
“Iran bersedia untuk berunding tetapi setiap rundingan mesti berasaskan keadilan, penghormatan terhadap hak negara dan layanan yang sama rata,” katanya.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas solidariti yang diberikan kepada Iran termasuk sokongan kemanusiaan, politik serta mesej sokongan daripada masyarakat Islam di negara ini.
Beliau turut menghargai pendirian Kerajaan Malaysia yang mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran serta pembunuhan pemimpin, komander tentera dan rakyat awam yang tidak berdosa.
Katanya, hubungan Iran dan Malaysia terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, sains dan kebudayaan.
“Moral sokongan, bantuan kemanusiaan dan doa daripada rakyat Malaysia merupakan tindakan yang sangat berharga dan tidak akan dilupakan oleh rakyat Iran,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut menyentuh Kempen Shajarah Tayyibah yang diadakan sebagai usaha kemanusiaan membantu rakyat Iran serta memperingati 168 pelajar yang terkorban di bandar Minar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk PAS yang terlibat menjayakan kempen berkenaan menerusi sumbangan, doa dan solidariti terhadap rakyat Iran. – HARAKAHDAILY 19/5/2026












