UEC: Kenapa DAP tegar pertahan sistem asing?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sikap pemimpin DAP begitu tegar mempertahankan isu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menimbulkan tanda tanya, walaupun jelas ditolak oleh banyak pihak.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berkata, penolakan terhadap pengiktirafan UEC bukan disebabkan rasis mahupun diskriminasi terhadap kaum tertentu.

Sebaliknya ujar beliau, disebabkan kerangka sistem pendidikannya yang bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahupun Dasar Pendidikan Kebangsaan sendiri.

Sedangkan jelasnya, isu tersebut bukan sahaja dibahas secara panjang lebar rakyat kebanyakan, tetapi ditolak oleh sebahagian besar pemimpin dan tokoh pendidikan negara.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya menekankan aspek inklusiviti terhadap akses pendidikan. Tetapi ada pihak yang memilih untuk meminggirkan diri dan menggunapakai sistem pendidikan yang asing,” kata beliau.

Dalam pada itu, sikap amat ketara ditunjukkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, membuktikan ketegaran ideologi parti itu untuk mempertahankan sistem pendidikan asing seperti UEC.

“Sebelum ini beliau telah mengeluarkan kenyataan mendakwa bantahan terhadap ‘laluan khas’ lepasan UEC ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), adalah halangan terhadap akses pendidikan.

“Pandangan itu ternyata tersasar daripada asas yang dibangkitkan oleh ramai pihak. Adakah bagi DAP Sistem Pendidikan Kebangsaan hari ini tidak ada nilainya di mata mereka?” soal Ku Muhyi lagi.

Kerajaan juga katanya, perlu berdiri atas prinsip jelas terhadap sistem pendidikan asing seperti UEC ini dan mempertahankan kerukunan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada dalam negara ini.

Walaupun ujarnya, pengiktirafan itu bersyarat iaitu perlu kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah, namun kelayakan itu hanya untuk program tertentu sahaja.

Kesungguhan pemimpin DAP mempertahankan UEC ini ujarnya, tidak memustahilkan pihak yang mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dipersalahkan.

Atas alasan kononnya, melakukan diskriminasi terhadap bangsa lain, walaupun sejak dari awal merekalah yang mendiskriminasi diri mereka sendiri.

“Akar permasalahan bukan kerana hanya kepada ‘entry point’ kemasukan ke universiti awam, tetapi sistem pendidikan UEC keseluruhannya.

“UEC tidak berpaksikan kepada perpaduan serta menghalang pembinaan negara bangsa pada masa hadapan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -