
KUALA LUMPUR: Kedudukan Bahasa Melayu serta kandungan sejarah negara dalam sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sering menjadi isu kerana dilihat tidak selaras dengan kerangka pendidikan kebangsaan.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (AJK), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, penguasaan Bahasa Melayu dan pemahaman terhadap sejarah Malaysia merupakan elemen asas dalam membentuk identiti rakyat serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap negara.
“Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menjadi tunjang penyatuan rakyat pelbagai kaum.
“Dalam masa sama, pendidikan sejarah pula penting bagi memastikan generasi muda memahami proses pembinaan negara, kontrak sosial dan semangat hidup bersama dalam masyarakat majmuk,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pengiktirafan UEC yang kembali menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat dan parti politik ketika ini.
Menurutnya, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dibina sejak puluhan tahun lalu telah berjaya melahirkan jutaan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar kaum dalam satu kerangka nasional yang sama.
“Isu ini perlu dilihat dalam konteks lebih besar, bukan sekadar soal sijil atau laluan akademik, tetapi melibatkan masa depan identiti negara, perpaduan nasional dan kesinambungan asas-asas yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia,” ulasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa mempertahankan Bahasa Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermaksud menafikan hak kaum lain.
Sebaliknya, menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, ia merupakan sebahagian daripada formula kestabilan negara yang telah dipersetujui bersama dan menjadi asas keharmonian Malaysia sejak merdeka.
“Rakyat perlu membezakan antara sikap perkauman sempit dengan usaha mempertahankan asas kenegaraan yang telah menjadi tunjang kestabilan negara selama ini.
“Kita mahu pendidikan terus menjadi medium perpaduan nasional dan bukannya membuka ruang kepada pemisahan identiti atau sistem yang bergerak di luar kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan,” tegasnya.
Tambah beliau, sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan UEC perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Penilaian tersebut ulas beliau agar tidak menjejaskan asas pembinaan identiti nasional yang telah diperkukuhkan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk memaklumkan, Malaysia sejak awal telah membangunkan sistem pendidikan kebangsaan yang jelas.
Sistem pendidikan kebangsaan itu terang beliau, melalui Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 serta Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, Dasar Pendidikan Kebangsaan bukan sekadar dasar akademik, sebaliknya merupakan instrumen penting pembinaan negara bangsa yang menyatukan masyarakat majmuk melalui bahasa, sejarah, identiti nasional dan semangat kewarganegaraan.
“Kita tidak menolak mana-mana bentuk pendidikan yang memberi manfaat kepada generasi muda, namun sistem pendidikan negara perlu bergerak dalam kerangka yang sama supaya wujud keseragaman nilai kenegaraan dan semangat kebangsaan.
“Malaysia telah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan yang lengkap dan tersusun melalui peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi, STPM serta pelbagai laluan pendidikan tinggi yang diiktiraf negara.
“Maka sebarang cadangan pengiktirafan baharu perlu diteliti dengan cermat supaya tidak mewujudkan dualisme yang boleh menghakis matlamat asal Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











