
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri digesa agar mengambil cakna kebajikan guru-guru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain), sejajar dengan perkhidmatan mereka menyampaikan ilmu khususnya kepada generasi muda.
Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) berkata, guru-guru KAFA ini layak menerima intensif yang baik dari Kerajaan Negeri terutama elaun atau gaji bulanan mereka.
“Di Pulau Pinang, guru guru KAFA berjumlah 1,630 orang dan mereka
ini telah berkhidmat dengan penuh kesungguhan dan penuh komited. Mereka bukan sekadar mengajar di kelas tambahan agama di sekolah-sekolah.
“Tetapi merupakan asas penting dalam membentuk akhlak, syaksiah dan membentuk jati diri generasi muda Islam di negara ini,” tegasnya ketika perbahasan sempena Sidang DUN Pulau Pinang, Isnin lalu.
Menurutnya, kerajaan boleh menggunakan dana tawakuf ataupun dana zakat untuk menaikkan elaun guru-guru KAFA di negeri ini, yang difahamkan hanya RM1,500 sebulan.
“Tak capai pun pendapatan minimum. Sepatutnya pendapatan minimum dalam peringkat negara RM1,700. Tapi bayangkan mereka hanya diberi 1,500 sebulan.
“Guru besar KAFA hanya mendapat RM1,600 sebulan, jadi kita harap
semoga kita ambil sesuatu benda yang baik, sarankan Timbalan Ketua Menteri yang juga Exco Agama mengambil cakna berkenaan ini,” tegas beliau.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri dikatakan telah memperuntukkan sebanyak RM176,000 setahun untuk kebajikan guru KAFA muslimah yang cuti bersalin iaitu RM1,100 sebulan bagi 80 orang dalam setahun.
Namun kata Shukor, ramai yang tidak berpuas hati kerana elaun bulanannya masih kekal berjumlah RM1,500 sebulan.
“Elaun guru KAFA ini sepatutnya RM1,800 sebulan, itu kita harapkan daripada Kerajaan Negeri. Kalau ikut jumlah guru KAFA (1,630), kenaikan RM300 akan melibatkan RM489,000 (sebulan) dan setahun
RM5.87 juta.
“Jika dihitung secara keseluruhannya kadar RM1,800 sebulan hanya melibatkan RM35.21 juta setahun dan saya percaya jumlah ini masih munasabah sekiranya benar-benar serius memperkasakan pendidikan Islam dan menjaga kebajikan guru-guru KAFA,” ulas beliau.
Peruntukan itu kata beliau, tidak seberapa andai dibanding dengan pengorbanan mereka terhadap anak-anak di negeri ini.
Malah, kata beliau sumber wang tawakuf dan wang zakat diperolehi setiap tahun sepatutnya digunakan sebahagiannya untuk asnaf fisabilillah iaitu guru-guru yang berkorban tanpa mengira masa, siang dan malam.
“Nabi Muhammad SAW pun suruh kita jadi guru (mutaa’liman), tak boleh jadi guru, jadilah orang yang belajar (mutaa’lim) atau menjadi golongan _mustama’an_ iaitu golongan yang suka mendengar ilmu.
“Suka dengar ceramah, suka dengar usrah, suka dengar orang memberi nasihat atau golongan keempat kata Nabi, orang yang cinta kepada ilmu, yakni orang yang sayang kepada ilmu.
“Nabi Muhammad SAW juga ada bagi amaran agar jangan masuk dalam golongan yang kelima, celakalah kamu iaitu jadi guru tak mahu, belajar pun tak mahu, dengar ilmu pun tak mahu, cinta ilmu pun tak mahu.
“Kita harap semoga Kerajaan Negeri ambillah perkara ini serius, dapatlah kita pertingkatkan lagi guru-guru agama kita supaya gaji atau elaun mereka itu melebihi pendapatan minimum,” gesa beliau.
Dalam pada itu, beliau turut membidas celahan dari ADUN kerajaan di mana meminta beliau membandingkan gaji guru KAFA negeri lain yang katanya lebih tinggi daripada guru KAFA di Perlis, Kedah ,Terengganu dan Kelantan.
Malahan celahan itu juga mendakwa gaji guru KAFA di Pulau Pinang dan Selangor antara paling tinggi sekiranya dibandingkan di empat negeri tersebut.
Justeru kata Syukur, hal itu dibangkitkan agar Kerajaan Negeri lebih cakna kepada guru-guru KAFA terbabit apatah lagi dalam keadaan
pendapatan RM1,500 sebulan sukar untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kalau dah kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) sudah membuat yang terbaik, maka kalau boleh kita jadi ‘role model’ kita kepada negeri lain dan contoh hasanah kepada semua,” tegas beliau lagi.
Sementara itu dalam hal lain, Shukor juga mengharapkan rungutan rakyat berkenaan keperluan lampu isyarat terutama di kawasan Kuala Jalan Baru, diberi perhatian.
“Kawasan itu sekarang sudah semakin besar, melebihi 1,000 orang penduduk di situ. Waktu pagi memang susah untuk melintas, sangat-sangat sibuk.
“Pagi-pagi nak hantar anak-anak ke sekolah, keluar bekerja jadi agak sukar kerana keadaan trafik yang tidak terurus. Kita harap supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang dapatlah buat sesuatu tindakan drastik,” gesa beliau.
Tambahan sekarang katanya, musim durian, kenderaan akan bertambah dua ataupun tiga kali ganda terutama pada hari Sabtu dan Ahad.
Justeru pembinaan lampu isyarat seperti di Simpang Tiga Kuala Jalan Baru, termasuk juga Jalan Tun Sa’don dapat membantu meredakan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas yang diharungi warga Pulau Pinang saban hari.
Selain itu jelasnya juga, kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Bintang, perlu diambil tindakan segera oleh pihak JKR di mana melibatkan hampir di 10 lokasi dan telah menyebabkan banyak jalan di kawasan tersebut berlubang-lubang.
“kita harap janganlah dibiarkan lama untuk diambil tindakan. Jalan raya sepatutnya diuruskan sebaik mungkin. Bila kita guna jalan raya dalam keadaan tak terurus, tak cantik, sempit dan sebagainya bayangkan kalau hari hujan.
“Bila hujan, angin kuat pula, kon-kon yang diletak di jalan yang rosak akan bergerak menutup jalan dan menyempitkan perjalanan. Ini juga antara punca berlakunya kemalangan,” katanya lagi. – *HARAKAHDAILY 17/5/2026*











