
SHAH ALAM: Perhimpunan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang berlangsung di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 peserta melibatkan lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta rakyat pelbagai kaum.
Himpunan yang berlangsung dalam suasana aman itu dianjurkan sebagai tanda solidariti rakyat dalam mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, kesucian agama Islam serta hak dan keistimewaan orang Melayu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar menegaskan komitmen pihaknya untuk terus mempertahankan institusi beraja daripada sebarang tindakan yang disifatkan mencabar kedudukannya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Imran Tamrin berkata institusi raja tidak boleh disamakan dengan institusi pentadbiran lain kerana kedudukannya yang lebih tinggi dalam sistem negara.
“Saya berasal daripada kampung. Orang kampung ini nak jumpa raja pun takut. Tetapi hari ini kita lihat seolah-olah ada normalisasi yang menyamakan ataupun menidakkan institusi raja itu.
“Kita tidak mahu perkara itu terus berlaku. Sebab itu kita bersama-sama hadir dalam himpunan ini untuk memperkukuhkan sokongan dan berdiri teguh di belakang institusi raja,” katanya pada sidang media sempena Himpunan Daulat Tuanku yang berlangsung petang tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa Umno akan terus istiqamah memperjuangkan isu berkaitan kesucian Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta hak orang Melayu sama ada berada dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri merakamkan penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Selangor, parti-parti politik, NGO serta rakyat yang menjayakan himpunan berkenaan.
Menurut beliau, perhimpunan tersebut menjadi simbol sokongan rakyat bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mempertahankan institusi diraja.
“Kita berharap selepas ini tidak ada lagi pihak yang menghina, ingkar atau melawan raja.
“Dalam isu babi ini khususnya, Tuanku memberi nasihat atas nama keselamatan rakyat, kebersihan dan kebajikan, namun masih ditolak. Pada saya, inilah noktahnya,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa NGO dan parti politik akan menganjurkan himpunan lebih besar sekiranya masih berlaku tindakan menghina atau mencerca institusi Raja-Raja Melayu.
Tambah beliau, kehadiran rakyat pelbagai kaum termasuk masyarakat bukan Melayu membuktikan sokongan rakyat Selangor terhadap Sultan Selangor terus kukuh.
“Saya bertemu ramai orang bukan Melayu yang turut hadir memberikan sokongan kepada kita. Ini menunjukkan rakyat Selangor bersama Tuanku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sukri memaklumkan jumlah peserta yang hadir dianggarkan sekitar 5,000 orang dengan penglibatan lebih 300 NGO.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi himpunan di SUK Selangor dan bukannya di hadapan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, beliau menjelaskan lokasi tersebut dipilih kerana ia menjadi simbol berlakunya ‘kebiadaban’ terhadap institusi diraja.
“Kita buat di depan SUK kerana di sinilah berlaku kebiadaban itu. Ini simbolik bahawa kemuliaan Dewan ini mesti dijaga.
“Kita juga memberi peringatan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan memohon maaf,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS Selangor akan terus bekerjasama dengan Umno serta pihak lain dalam isu yang melibatkan kepentingan Melayu, Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Demi umat, demi rakyat, demi negara dan tanah air, kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu berkepentingan Melayu, Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2026











