
KUANTAN: Banyak permasalahan rakyat telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang, tetapi tidak dijawab secara penuh oleh Exco Pahang di dalam sesi penggulungan.
ADUN Beserah, Dato’ Andansura Rabu berkata, kegagalan tersebut menimbulkan sedikit rasa jengkel dan kesal di pihak ADUN Pembangkang terhadap perjalanan Sidang DUN Pahang.
“Banyak yang telah dibangkitkan, tapi seperti mana disebut tadi, kadang-kadang tak sempat masa Exco nak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan itu, sebab mereka banyak menggunakan ruang itu untuk cerita apa yang dia nak buat,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Andansura turut mempersoalkan beberapa soalan dijanjikan jawapan bertulis, tetapi tidak semua jawapan bertulis diterima sebelum ini dan ia menimbulkan kekesalan kerana isu kekal tanpa penutup.
“Kadang-kadang dia kata nak bagi jawapan bertulis, cuma kita harap betul-betul berlakulah sebelum ini, sebab bila kita kata jawapan bertulis itu, kadang-kadang kita tak dapat jawapan bertulis.
“Jadi apa yang dibangkitkan tergantung sebegitu sahaja, tidak ada penutup,” katanya yang ternyata kesal dengan keadaan tersebut.
Beliau tidak menafikan sesi perbincangan dan perbahasan berlangsung dalam suasana teratur dan baik yang mana kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang saling menerima teguran.
Andansura berkatanlagi, biarpun kesilapan fakta kadangkala berlaku akibat maklumat yang kurang tepat, namun perkara itu masih dapat ditangani secara harmoni.
“Di Pahang ini tidak ada orang kata apa, kecoh ataupun ada perkara-perkara yang melibatkan perbalahan yang melampau dan sebagainya, tidak ada.
“Kita berbincang dan juga berbahas dalam keadaan yang sangat baik dan harmoni, kedua-dua pihak. Kami di pihak pembangkang pun kita menerima teguran yang diberikan oleh pihak kerajaan.
“Ada masanya kita silap juga dari segi fakta, kedaulatan dan sebagainya kerana kita mungkin salah dapat maklumat. Tapi semua itu dapat kita atasi dengan cara harmoni,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa persoalan-persoalan penting dan serius yang dibangkitkan oleh ADUN Pembangkang dalam sidang media sepatutnya dijawab secara terus dan tuntas oleh Exco, bukannya dibiarkan tanpa penjelasan.
“Jadi ini sedikit, orang kata, apa yang kita rasa agak terkilan jugalah, sebab bila kita tunggu Exco menjawab tapi tak ada jawapan, tiba-tiba dia tutup begitu saja.
“Ada beberapa tadi yang kata nak jawab secara bertulis, kita harap ini betul-betul dapat jawapan bertulis. Kita bersangka baik dan kita harap dapat betul-betul jawapan bertulis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/5/2026











