
KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya rakyat Selangor diseru menghadiri Himpunan Daulat Tuanku yang dijadual berlangsung pada esok Sabtu, 16 Mei jam 4 petang di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, himpunan itu dianjurkan sebagai tanda sokongan dan kesetiaan rakyat terhadap Institusi Raja-raja Melayu, khususnya Sultan Selangor sebagai payung negeri.
“Raja-raja memikul amanah besar dalam menjaga hal ehwal agama Islam serta kebajikan rakyat. Di Selangor, Sultan sentiasa dekat di hati rakyat dan mengambil berat terhadap nasib serta kepentingan mereka,” katanya.
Menurutnya, rakyat melihat Sultan sebagai tempat berlindung dan mengadu, selain menjadi tonggak dalam mempertahankan kepentingan negeri apabila berdepan sebarang isu.
“Sebarang usaha yang cuba menggugat atau memperlekehkan institusi ini perlu dibendung dan ditentang. Rakyat perlu bangkit mempertahankan institusi Raja-raja Melayu daripada sebarang anasir yang mencabar kedudukannya,” ujarnya.
Beliau berkata, himpunan itu juga bertujuan menghantar mesej jelas bahawa rakyat akan menjadi benteng mempertahankan institusi berkenaan daripada sebarang bentuk ancaman.
“Himpunan ini adalah manifestasi taat setia dan kasih rakyat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta institusi Raja-raja Melayu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan penyertaan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, pekerjaan atau kedudukan bagi menzahirkan sokongan dan solidariti.
Program itu dijangka menghimpunkan pelbagai golongan termasuk penjawat awam, pekerja swasta, petani, nelayan, peniaga, belia serta rakyat umum.
Terdahulu, beberapa isu mutakhir dilaporkan menyentuh sensitiviti Institusi Raja-raja Melayu termasuk kenyataan dan tindakan pihak tertentu yang dilihat mencabar kedudukan serta peranannya dalam negara.
Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Melayu, yang melihat Institusi Raja-raja sebagai benteng dalam mempertahankan agama Islam serta hak dan kepentingan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan masih belum menunjukkan kesungguhan dalam menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu. – HARAKAHDAILY 15/5/2026











