Lagi penunggang motor parah dirempuh pemandu mabuk

Gambar Hiasan
- Advertisement -

KLANG: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus dalam kejadian di Persiaran Kota, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia lingkungan 20-an tercampak akibat rempuhan itu dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kaki kanan.

- Advertisement -

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza dipandu suspek, lelaki berusia lingkungan 30-an, dari arah Pelabuhan Klang menuju ke Shah Alam dipercayai dipandu secara melulu dan melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer sebelum merempuh motosikal mangsa.

“Hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta tersebut positif alkohol.

“Suspek telah ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut dan permohonan reman telah diperoleh daripada Majistret Klang, Azilah Mat sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, selain penggantungan lesen memandu.

Jit Huey berkata, mangsa kini menerima rawatan kritikal di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala suspek hanya mengalami luka ringan.

Dalam pada itu, polis turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah kesalahan serius yang mengancam keselamatan awam.

“Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi undang-undang, memandu secara berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut mencetuskan reaksi emosi dalam kalangan ahli keluarga mangsa apabila bapanya meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden yang menimpa anaknya.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau merayu agar kes berkenaan diberi perhatian sewajarnya serta tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

“Aku nak sound sikit kepada YB dan ahli Parlimen serta menteri-menteri yang megah sangat dengan arak kau, apa yang telah menimpa kepada anak aku sekarang.

Aku berdoa kepada Allah SWT, mana-mana menteri dan YB yang menyokong arak tu, Allah SWT bagi anak dia pula yang kena langgar dengan pemandu-pemandu mabuk tu,” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai membantu menyebarkan video kejadian berkenaan supaya mendapat perhatian pihak tertinggi negara.

“Kepada semua yang menonton video ini, mohon sebarkan kepada semua pihak dan sampai kepada Parlimen, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/5/2026

- Advertisement -