‘Dual key apartments’: Beri fleksibiliti pembeli rumah

Bantu ringankan beban kos sara hidup dan tekanan harga hartanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendekatan ‘dual key apartments’ atau pangsapuri dua kunci memberi pilihan lebih fleksibel kepada pembeli rumah kerana mereka tidak lagi perlu membeli unit lebih besar daripada keperluan sebenar semata-mata untuk tujuan masa depan.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad menjelaskan, pembeli sebaliknya boleh menyesuaikan penggunaan ruang mengikut fasa kehidupan masing-masing.

- Advertisement -

“Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan konsep ini bergantung kepada sokongan institusi kewangan. Pihak bank dan pembiaya pinjaman perlu mempertimbangkan potensi pendapatan sewaan sebagai sebahagian daripada penilaian kelayakan pinjaman,” ujarnya.

Beliau berpandangan tanpa pengiktirafan itu, golongan sasaran terutama pembeli rumah pertama dalam kategori mampu milik mungkin masih berdepan kekangan untuk mendapatkan pembiayaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, pemaju dan institusi kewangan perlu bekerjasama bagi memastikan model ‘dual key apartments’ dapat dilaksanakan secara meluas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, cadangan pembinaan ‘dual key apartments’ merupakan satu pendekatan yang berpotensi meningkatkan akses rakyat kepada kediaman mampu milik, khususnya di kawasan bandar yang berdepan tekanan harga hartanah semakin meningkat.

Jelasnya, konsep ‘dual key apartments’ merujuk kepada satu unit apartment yang mempunyai dua ruang kediaman berasingan dalam satu hak milik, namun berkongsi satu pintu masuk utama.

“Lazimnya, pintu utama tersebut membuka ke sebuah ruang foyer kecil yang kemudiannya menghubungkan kepada dua pintu berasingan. Satu pintu kepada unit utama yang dilengkapi dengan ruang tamu, bilik-bilik tidur, dapur serta bilik air.

“Satu lagi pintu kepada unit kedua yang lebih kecil. Ia mungkin unit studio yang menggabungkan ruang tamu, bilik tidur dan dapur serta mempunyai bilik air sendiri atau unit dengan satu bilik tidur bersama dapur dan bilik air sendiri,” ujarnya.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menerajui portfolio perumahan itu memaklumkan, model tersebut menawarkan fleksibiliti tinggi kepada pemilik kediaman kerana mereka boleh menyewakan salah satu unit.

Sewaan itu menurut beliau, adalah untuk menjana pendapatan tambahan sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup dan bayaran pinjaman perumahan.

Tambahnya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, bagi pasangan muda, golongan bujang atau keluarga kecil, mereka boleh mendiami unit lebih kecil dan menyewakan unit utama.

“Apabila keperluan ruang meningkat, mereka boleh berpindah ke unit utama dan menyewakan unit kecil itu. Malah, apabila keadaan kewangan lebih stabil, kedua-dua unit boleh digabungkan untuk kegunaan sendiri sebagai satu kediaman yang lebih luas,” katanya.

Beliau turut menyifatkan konsep itu relevan kepada golongan pesara apabila sebahagian kediaman boleh disewakan selepas anak-anak berpindah keluar bagi menjana pendapatan tambahan di samping pencen atau wang simpanan.

Mengimbas kembali ketika menjadi Exco Kerajaan dari 2008 hingga 2018, beliau pernah meminta sebuah firma arkitek membuat kajian mengenai reka bentuk kediaman yang membolehkan pemilik menyewakan sebahagian kediaman mereka tanpa mengganggu privasi.

Menurutnya, ketika itu beliau mahu sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri memulakan projek perintis, namun cadangan itu tidak diteruskan.

“Bagaimanapun, terdapat pemaju lain yang merancang perkara sama sehingga terhasilnya ‘dual key apartments’” katanya.- HARAKAHDAILY 15/5/2026

- Advertisement -