
KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan perang Iran kini menjadi beban politik terbesar kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut kenyataan itu, Trump pada minggu ini menuju ke Beijing dengan harapan mendapatkan bantuan China bagi membantu meredakan perang berkenaan.
“Ia adalah ketika konflik di Asia Barat terus mengheret ekonomi dunia ke dalam ketidaktentuan serta menjejaskan sokongan rakyat Amerika terhadap pentadbiran Trump,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, dalam keadaan tekanan politik semakin memuncak menjelang pilihan raya pertengahan penggal, lawatan ke China kali ini dilihat bukan sekadar urusan perdagangan, tetapi juga misi diplomatik untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau sendiri.
Kenyataan itu memaklumkan suasana berkenaan jauh berbeza berbanding setahun lalu apabila Trump dilihat penuh yakin bahawa tarif perdagangan tinggi mampu memaksa China tunduk kepada Washington.
Menurutnya, Trump sebelum ini menyerang Beijing dengan retorik keras dan menggambarkan Amerika sedang ‘menang’ dalam perang perdagangan.
“Namun hari ini, keadaan berubah. Trump tiba di Beijing bukan lagi dengan imej Presiden yang mahu menekan China, tetapi sebagai pemimpin yang sedang mencari ruang kompromi di tengah pelbagai krisis antarabangsa,” ulasnya.
Menurut kenyataan itu, perang Iran kini semakin memakan kos politik di Washington apabila konflik berkenaan bukan sahaja meningkatkan harga tenaga dunia.
Malah beliau menegasikan bahawa perang Iran itu juga mencetuskan kebimbangan rakyat Amerika terhadap kemungkinan perang lebih besar di Asia Barat.
“Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Amerika tidak bersetuju dengan perang itu sekali gus menambah tekanan kepada White House (Rumah Putih),” ujarnya.
Dalam keadaan itu, menurut kenyataan berkenaan, China menjadi pemain penting yang sukar dielakkan meskipun Beijing masih mempunyai hubungan rapat dengan Tehran selain kekal sebagai antara pembeli utama minyak Iran.
Trump, menurut kenyataan itu, kini berharap Presiden China, Xi Jinping, dapat menggunakan pengaruhnya untuk membawa Iran kembali ke meja rundingan dan membantu menamatkan konflik yang semakin menjejaskan imej beliau di dalam negara.
“Namun Beijing juga sedar bahawa kedudukan kali ini lebih memihak kepada China.
“Selepas berjaya bertahan daripada tekanan tarif Amerika, China kini tampil lebih yakin dalam percaturan geopolitik global,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, kawalan Beijing terhadap eksport nadir bumi memperlihatkan bagaimana Barat masih bergantung kepada China dalam sektor teknologi dan pertahanan.
Menurut kenyataan itu, pertemuan Trump dan Xi Jinping pada hari ini hingga esok iaitu, 14 hingga 15 Mei dijadual berlangsung dalam suasana penuh protokol kenegaraan.
“Kedua-dua pemimpin akan menghadiri sidang di Great Hall of the People, menikmati jamuan rasmi negara serta mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup.
“Namun di sebalik segala simbol diplomatik itu, ramai penganalisis melihat jangkaan hasil rundingan sebenarnya agak sederhana,” menurut kenyataan itu.
Selain isu perang Iran ulasnya, kedua-dua negara dijangka membincangkan perdagangan, sekatan teknologi dan Taiwan.
Menurut kenyataan itu, China dilaporkan mahu Amerika mengendurkan tekanan terhadap syarikat teknologi China serta mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap isu Taiwan.
Washington pula, katanya, mahu memastikan hubungan perdagangan tidak kembali memasuki fasa perang tarif yang lebih agresif.
“Akhirnya, lawatan Trump ke Beijing kali ini lebih menggambarkan perubahan keseimbangan kuasa dunia.
“Jika sebelum ini Amerika dilihat berada di posisi menyerang dan China berada dalam keadaan defensif, kini keadaan seolah-olah terbalik.
“Trump datang dalam keadaan tertekan akibat perang Iran, manakala Xi Jinping menerima beliau dari posisi yang lebih stabil dan strategik,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026











