Kerajaan prihatin atau kuat potong subsidi?

Jangan rakyat jadi mangsa demi nampak ‘jimat subsidi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menegaskan, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa semata-mata untuk menampilkan imej penjimatan subsidi oleh kerajaan.

Beliau mencadangkan kerajaan mengekalkan semula kuota subsidi petrol BUDI95 kepada 300 liter seperti sebelum ini dan memberi fokus kepada aspek pemantauan serta penguatkuasaan.

- Advertisement -

“Cadangan saya mudah, kekalkan semula kuota 300 liter macam asal. Fokus kepada pemantauan dan penguatkuasaan, bukan asyik tekan rakyat.

“Kalau formula ekonomi Kerajaan Madani ni tiap kali rakyat susah terus potong subsidi, baik jangan berlagak nak jadi kerajaan prihatin.

“Oh, sebelum saya lupa, kalau nak potong, potong minyak ‘free’ untuk Menteri dan Timbalan Menteri dulu. Amacam boleh?” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.

Nurul Islam berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, yang memberi bayangan kuota BUDI95 mungkin dikurangkan lagi.

Menurutnya, kuota berkenaan sebelum ini sudah diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebelum dikurangkan lagi kepada 150 liter.

Katanya, alasan bahawa rakyat Malaysia tidak menggunakan sepenuhnya kuota berkenaan disifatkan sebagai tidak logik.

“Campur sekali ‘student’, orang naik motor, warga emas, suri rumah… memanglah purata penggunaan nampak rendah. Tapi ada masa-masa tertentu rakyat memang perlukan lebih penggunaan.

“Balik kampung, kerja jauh, urusan keluarga, ‘outstation’, masa tu lah kuota tu penting,” ujarnya.

Beliau berkata apabila kuota dipotong, rakyat terpaksa membeli petrol pada harga lebih mahal apabila penggunaan melebihi had ditetapkan.

“Yang tersepit siapa? Rakyat juga,” bidasnya sambil menambah, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan.

Menurutnya, tumpuan juga perlu diberikan kepada mengawal salah guna subsidi termasuk melalui penggunaan kad pengenalan untuk membendung warga asing menggunakan subsidi rakyat Malaysia.

Beliau mengulas bahawa sekiranya terdapat pengguna motosikal dengan penggunaan petrol yang mencurigakan dan sentiasa penuh setiap bulan, perkara itu perlu disiasat.

“Kalau memang kerja dia jauh atau ulang-alik tiap hari, itu hak dia sebagai rakyat,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong mendakwa bahawa program BUDI95 membantu kerajaan memahami corak penggunaan petrol rakyat secara lebih terperinci, dengan data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” kata Liew Chin Tong.

Liew Chin Tong memaklumkan fokus kerajaan bukan sekadar mengurangkan subsidi, tetapi memastikan bekalan petrol negara kekal mencukupi sekiranya berlaku krisis atau ketegangan global berpanjangan. – HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -