Rumah BUDI cerminan iltizam PAS bersama PN

Andansura ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah BUDI PAS Kawasan Indera Mahkota, di Kuantan, Pahang
- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu menyifatkan Rumah BUDI mencerminkan iltizam PAS bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memperjuangkan agenda kediaman dan perumahan rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir negeri atau negara.

Menurut beliau, agenda tersebut merangkumi aspek pemilikan rumah, permohonan tanah, infrastruktur, saliran dan pengairan serta kelestarian alam sekitar.

- Advertisement -

“Rumah BUDI ini bukan sekadar sebuah rumah, tetapi lambang keazaman dan kesediaan kami untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Beliau berkata, rumah tersebut dibina hasil sumbangan masyarakat sebagai simbol komitmen dan kesungguhan PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) dalam membantu rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat.

Tambah Andansura, projek tersebut turut melambangkan semangat kebersamaan dan kesepaduan warga PASKIM dalam menjayakan agenda kebajikan masyarakat.

“Rumah BUDI ini dibina hasil 100 peratus sumbangan infak warga PASKIM, para dermawan dan ahli masyarakat.

“Ia juga menjadi simbol keprihatinan masyarakat untuk saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain,” ujarnya yang juga Setiausaha PN Pahang.

Beliau menjelaskan bahawa rumah berkenaan merupakan Rumah BUDI ketiga dibina di Pahang sejak dilancarkan pada November lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima Rumah BUDI pertama PASKIM, Azieizwan Abdul Malek sekeluarga dalam satu majlis ringkas di Batu Hitam di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden PAS, Dato’ SRI Tuan Ibrahim Tuan Man atas kesudian menyempurnakan majlis tersebut.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Rosni Adam serta ADN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -