Bangi ‘Bandar Ilmu’, ironiknya guru tak diraikan

- Advertisement -

BANGI: Tindakan membatalkan sambutan Hari Guru di sekolah bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan penjimatan serta fokus akademik mencetuskan persoalan mengenai tahap penghargaan terhadap peranan pendidik di negara ini.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi, Aminuddin Daud berkata, Bandar Baru Bangi yang sering dikenali sebagai bandar ilmu seharusnya memuliakan guru sebagai tonggak utama dalam pembinaan masyarakat berilmu.

- Advertisement -

“Bandar ilmu bukan hanya terletak pada bangunan atau institusi pendidikan, tetapi pada insan yang menghidupkan ilmu itu sendiri iaitu para guru dan pendidik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, peranan guru tidak terhad kepada penyampaian silibus semata-mata, sebaliknya melibatkan pembinaan sahsiah, pembentukan akhlak serta memikul amanah besar dalam mencorak masa depan negara.

Tambahnya, sambutan Hari Guru yang diraikan sejak sekian lama bukan bertujuan bermewah, tetapi sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan warga pendidik.

“Sejak bila menghargai guru dianggap beban kepada sistem pendidikan?” soal beliau dan menegaskan, sambutan tersebut tidak memerlukan peruntukan besar, sebaliknya memadai dengan memberi ruang kepada murid menzahirkan penghargaan kepada guru.

Dalam masa sama, Aminuddin menyifatkan keadaan itu sebagai ironik apabila usaha memartabatkan pendidikan sering dilaungkan, namun penghargaan terhadap pendidik dipandang remeh atas alasan kecekapan dan penjimatan.

Katanya, dalam situasi negara yang sedang berdepan cabaran krisis adab dan keruntuhan nilai, budaya menghormati guru tidak seharusnya dipinggirkan.

“Jika sambutan di peringkat daerah dianggap membebankan, sekurang-kurangnya benarkan pihak sekolah meraikan Hari Guru secara sederhana,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa guru bukan sekadar kakitangan, sebaliknya merupakan penjaga masa depan bangsa yang wajar terus dihargai dalam apa jua keadaan.

Terdahulu, tular di media sosial satu surat edaran bertajuk ‘Ketetapan untuk tidak melaksanakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah’ yang dikeluarkan oleh JAIS.

Surat yang ditandatangani Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad itu ditujukan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah di seluruh Selangor.

Menerusi edaran berkenaan, JAIS menetapkan bahawa semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan menganjurkan sebarang sambutan Hari Guru sama ada di peringkat sekolah mahupun daerah.

Menurut surat tersebut, ketetapan itu dibuat selaras dengan hasrat JAIS untuk memastikan pihak sekolah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -