Rumah BUDI bantu rakyat marhaen miliki kediaman

Tuan Ibrahim (Dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Rumah BUDI PAS Kawasan Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
- Advertisement -

KUANTAN: Inisiatif Rumah BUDI yang digerakkan PAS mampu membantu golongan memerlukan memiliki kediaman lebih selesa di tengah tekanan kos sara hidup ketika ini, kata Timbalan Presiden PAS Malaysia, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, projek berkenaan merupakan inisiatif Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang dilaksanakan di peringkat negeri hasil sumbangan masyarakat dan orang ramai.

- Advertisement -

Katanya, rumah yang diserahkan di Batu Hitam merupakan Rumah BUDI ketiga berjaya disiapkan di Pahang.

“Budaya gotong-royong dan saling membantu ini sebenarnya sudah lama menjadi amalan masyarakat kita dan perlu diteruskan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Rumah BUDI PAS Kawasan Indera Mahkota, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berserah, Dato’ Andansura Rabu; ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil; dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, isu rumah terbengkalai dan projek sakit perlu diberi perhatian kerana memberi kesan besar kepada rakyat yang terpaksa menanggung komitmen bayaran bank dan sewa rumah pada masa sama.

Katanya, antara faktor dikenal pasti termasuk masalah kontraktor, kenaikan kos bahan binaan dan kelewatan projek perumahan tertentu termasuk melibatkan generasi kedua Felda.

Sementara itu, Andansura berkata, projek berkenaan berjaya disiapkan hasil kerjasama pelbagai pihak walaupun berdepan cabaran kewangan dan tempoh pembinaan yang singkat.

Beliau berkata, isu kediaman antara fokus utama PAS dan PN Pahang memandangkan sebahagian besar rakyat khususnya golongan M40 dan B40 terpaksa menggunakan hampir 40 peratus pendapatan mereka untuk kos perumahan.

Katanya, terdapat juga rakyat yang memiliki tanah sendiri tetapi gagal membina rumah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan sukar memperoleh pembiayaan institusi kewangan.

“Walaupun bukan kerajaan, kita tidak boleh sekadar melihat dan menunggu pilihan raya. Kita mesti bekerja bersama rakyat dan membantu mengikut kemampuan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan rumah tersebut. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -