Komuniti Madani untuk jadi alat propaganda parti?

Guna dana awam untuk kepentingan politik?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan penjelasan berhubung pelantikan Ketua Komuniti Madani yang dilihat cenderung melibatkan pemegang jawatan aktif dalam parti politik, sekali gus menimbulkan persepsi badan sukarela itu digunakan sebagai alat propaganda pihak tertentu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari melontarkan kemungkinan itu susulan Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Komuniti Madani bagi tahun 2026/2027 yang melibatkan 234 ketua komuniti dari Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor di Ibu Kota, dua hari lalu.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mencetuskan pertikaian apabila maklumat pengenalan bagi Ketua Komuniti Madani Putrajaya secara terbuka menghebahkan jawatan individu berkenaan sebagai Ketua Penerangan PKR bagi cabang tersebut.

“Isunya, kenapakah ketika Ketua-ketua Komuniti Madani memperkenalkan diri mereka, jawatan-jawatan mereka di dalam parti politik dihebahkan dengan terbuka?

“Menariknya, jawatan Ketua Penerangan PKR Putrajaya dihebahkan memberikan satu persepsi bahawa Komuniti Madani ialah alat PKR untuk menyebarkan propaganda mereka ke seluruh negara,” ujar beliau.

Komuniti Madani merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) di bawah Kementerian Komunikasi, bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan.

Sejak dilancarkan, program ini menerima perhatian khusus berikutan peruntukan dana yang besar di mana pada tahun 2023, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan dana berjumlah RM1 bilion.

Katanya, ia bagi tujuan projek pembangunan di bawah inisiatif ini, namun pelantikan ketua-ketua komuniti yang terdiri daripada aktivis politik menimbulkan mempersoalkan ketelusan serta integriti badan tersebut.

Ahmad Fadhli turut membangkitkan persoalan mengenai sumber kewangan yang membiayai operasi badan sukarela itu, memandangkan dana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini amat signifikan.

Walaupun dana tersebut dikatakan khusus untuk projek pembangunan, ketiadaan jaminan bahawa badan di bawah Jabatan Penerangan itu bebas daripada peruntukan kerajaan menimbulkan keraguan awam.

“Jangan mendakwa bahawa mentang-mentang ia badan sukarela, ia tidak menggunakan duit rakyat walau satu sen. Jangan dilupakan bahawa bajet Komuniti Madani seperti yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri begitu besar. Ketika PMX berucap pada tahun 2023, pernah disebut dananya ialah RM1 billion!

“Benar, dana tersebut dikatakan untuk projek pembangunan, tetapi siapakah boleh menjamin dengan pasti bahawa Komuniti Madani yang ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan ini benar-benar bebas dari sebarang peruntukan kerajaan?” soalnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan integriti perjuangan ‘reformasi’ yang dilaungkan oleh PKR sekiranya benar duit kerajaan disalahgunakan untuk tujuan kelangsungan dan penerangan parti.

“Lalu kepada PKR, reformasi apa yang kamu sedang perjuangkan sekarang jika duit kerajaan juga kamu gunakan untuk kegiatan dan penerangan parti?” tegas Ahmad Fadhli. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -