Himpunan 16 Mei mesej pertahan Institusi Raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Daulat Tuanku yang dijadual berlangsung pada 16 Mei ini di Shah Alam, sahut Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin.

- Advertisement -

Menurut beliau, himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Selangor bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu dilihat sebagai mesej jelas rakyat kepada mana-mana pihak yang semakin berani mempertikai dan mencabar Institusi Raja-Raja Melayu.

“Himpunan tersebut menjadi isyarat tegas bahawa rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam, tidak akan berdiam diri apabila Institusi Diraja disentuh secara biadab dan melampaui batas,” katanya.

Menurut beliau, Institusi Raja-Raja Melayu merupakan benteng penting dalam menjaga agama, kestabilan serta identiti negara yang tidak boleh dipertikai sewenang-wenangnya.

Beliau menjelaskan bahawa Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan, kuasa dan kemuliaan Raja-Raja Melayu, manakala Perkara 3(2) pula menetapkan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri.

“Mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu sebenarnya sedang bermain dengan api perpecahan nasional,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak menguji kesabaran rakyat atau menjadikan Institusi Diraja sebagai bahan percaturan politik.

“Jangan berselindung di sebalik slogan demokrasi untuk menghalalkan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat kelompok tertentu yang semakin berani menyentuh perkara asas kenegaraan termasuk mempertikai titah Sultan, mempersenda sensitiviti Melayu Islam serta mempermainkan isu agama dan bangsa.

Katanya, jika perkara tersebut terus dibiarkan, Malaysia berdepan risiko krisis penghormatan terhadap institusi negara yang serius.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk mempertahankan Institusi Diraja secara aman dan berperlembagaan.

Tegas Azmer Syazwan juga sikap berdiam diri terhadap penghinaan adalah satu bentuk pengkhianatan moral terhadap masa depan negara.

Dalam masa sama beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina Institusi Diraja melalui ucapan, penulisan atau media sosial.

Beliau menyeru seluruh rakyat, khususnya golongan muda, untuk hadir ke himpunan tersebut secara aman dan berdisiplin sebagai tanda solidariti mempertahankan maruah Institusi Diraja.

Himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan daripada pemimpin DAP dan Pakatan Harapan yang dikatakan melampaui batas politik serta bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Program tersebut bertujuan menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Sultan Sharafuddin Idris Shah di samping menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu serta kedaulatan Institusi Diraja di negeri itu.

Sebagai simbol sokongan, satu memorandum taat setia rakyat akan diserahkan ke Istana Kayangan pada hari berkenaan. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -