
SHAH ALAM: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berpandangan sambutan Hari Guru tidak wajar dibatalkan sepenuhnya meskipun berdepan kekangan tertentu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung ketetapan tidak melaksanakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah.
“Jika isu utamanya melibatkan kekangan kewangan, maka sambutlah secara sederhana dan bersesuaian dengan kemampuan sekolah, bukan dihapuskan terus,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial, hari ini.
Menurut beliau, sambutan Hari Guru bukan sekadar melibatkan acara atau perbelanjaan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan serta medium pendidikan adab dalam kalangan murid.
“Ia juga menjadi ruang pembinaan jiwa murid untuk menghormati insan yang mendidik mereka. Kadang kala, sekuntum bunga, sekeping kad ucapan tulisan tangan murid, bacaan doa atau ucapan ringkas sudah cukup memberi nilai besar kepada seorang guru,” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan seumpama itu turut membina hubungan emosi dan kebersamaan antara murid, guru serta pihak sekolah, sekali gus menyumbang kepada pembentukan akhlak dan budaya hormat dalam masyarakat.
Mengulas kebimbangan terhadap pembaziran, beliau mencadangkan agar garis panduan diperketat dengan menekankan pengisian ilmu, penghargaan dan adab, selain menggalakkan penyertaan murid secara kreatif dan sederhana.
“Gunakan pendekatan gotong-royong serta penyertaan pelajar di sekolah, namun jangan sampai atas nama penjimatan, kita mematikan nilai penghargaan terhadap guru,” tegasnya.
Beliau berkata, dalam tradisi Islam, memuliakan guru merupakan sebahagian daripada adab terhadap ilmu, malah ulama terdahulu amat menitikberatkan penghormatan kepada guru sebagai asas melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
JAIS dalam satu arahan dikeluarkan menyatakan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan menganjurkan sebarang sambutan Hari Guru sama ada di peringkat daerah mahupun sekolah.
Ketetapan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak sekolah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran di dalam atau luar bilik darjah.
Selain itu JAIS mahu memastikan sumber kewangan dimanfaatkan untuk peningkatan profesionalisme guru serta pelaksanaan program yang memperkasa kualiti dan sahsiah pelajar.
Sambutan Hari Guru di Malaysia diraikan pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap jasa guru dalam mendidik generasi muda.
Tarikh itu adalah bersempena penerimaan Laporan Razak pada 16 Mei 1956 yang menjadi asas Dasar Pelajaran Kebangsaan. – HARAKAHDAILY 11/5/2026











