Pesawah di Kedah kena sayang kat ‘Bang Non’ ka?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan perlu menangani masalah pesawah dan isu padi, bukan sebagai satu kebaikan atau pilihan yang dibangga-banggakan, tetapi ia sememangnya tanggungjawab termaktub.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, naratif cuba dimainkan sekarang seolah-olah tanpa campur tangan Kerajaan Persekutuan, maka Kedah akan ‘bungkus’ dan beliau sebagai Menteri Besar gagal bertindak.

- Advertisement -

“Itu naratif yang dimainkan sekarang, kononnya nak tunjuk Kedah kalau tak ada Kerajaan Pusat akan bungkus. Pesawah paling ramai adalah di Kedah.

Depa cuba nak main dengan orang bendang pula, konon kalau harap kat Sanusi, tak boleh apa,” kata beliau ketika ditemui pada Konvensyen Medsos, di Kompleks PAS Kedah, di sini kelmarin.

Ujarnya lagi, rakyat cuba diberi gambaran kononnya banyak usaha dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu para pesawah.

Sebagai contoh kata beliau, bantuan kepada traktor dan usaha pembenihan awan, walaupun hujan sudah mula turun di bumi Kedah sejak kebelakangannya.

Menteri Besar itu juga tidak nafikan, akan banyak lagi usaha-usaha untuk mengambil hati pesawah, sekali gus menafikan peranan Kerajaan Negeri terhadap golongan tersebut.

Mungkin selepas ini katanya, mesin padi, traktor dan lain-lain akan diberi ‘fleet-card‘ subsidi minyak diesel dan menjadikan kos operasi sawah akan menurun.

Namun tegasnya, rakyat perlu perlu faham, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan itu adalah tanggungjawab yang mesti mereka laksanakan bukan kebaikan kononnya untuk membantu Kedah.

Kalau depa (Kerajaan Persekutuan) tak tolong para pesawah, 43 peratus bekalan padi negara akan terjejas. Bekalan makanan ini tanggungjawab Kementerian Keterjaminan Makanan bukan Kerajaan Negeri.

“Yang hangpa bagi subsidi minyak traktor, hujan ka, ayaq ka, itu tanggungjawab, bukan kebaikan yang seronok-seronok hangpa buat. Kalau hangpa tak buat, hangpa kena beli beras dan beli padi dari luar, kosnya hingga RM3,000, tapi petani sini tak sampai.

“Kos sebelum kenaikan minyak satu hektar RM1,600, kalau hangpa bagi RM2,500 pun lebih berlambak lagi. Kalau pun kos sampai RM2,500, masih lebih, kerajaan boleh jimat RM500,” ulasnya panjang lebar.

Sanusi turut menegaskan, atas tanggungjawab menyediakan bekalan makanan utama penduduk Malaysia, penanaman padi di Kedah diteruskan walaupun pelbagai masalah terpaksa dihadapi petani.

Namun katanya, andai Kerajaan Persekutuan tidak lagi berminat penanaman padi diteruskan di Kedah, pihaknya turut mengalu-alukan.

Kalau tak mau bagi orang Kedah buat bendang, lagi syok sebab buat bendang ni teruk. Atau kami buat bendang untuk orang bendang saja makan. Tak usah buat banyak-banyak. Ada 10 petak, tanam padi dua petak sudah, mukul-mukul, pi mesin, makan sendiri.

Tetapi yang kita buat banyak ini pasal nak tolong negara ini agar ada makanan, kalau takat makan kami saja. Tanam dua petak padan dah,” kata beliau.

Menurutnya lagi, semua naratif negatif yang kononnya kegagalan beliau dan Kerajaan Negeri itu akan ditular meluas terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tindakan itu katanya untuk melemah dan mengurangkan kasih sayang rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

“Depa nak kurangkan kasih sayang rakyat kepada Kerajaan Negeri, konon kena ada ‘Bang Non’ baru kita hidup,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -