Implikasi buruk kepada kesihatan awam, alam sekitar

Penternakan babi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan penternakan dan pengambilan babi perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek hukum syarak, kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar.

Lajnah Dakwah, Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Wan Ahmad Soleh menegaskan bahawa babi merupakan haiwan yang diharamkan secara jelas dalam Islam berdasarkan Al-Quran, al-Sunnah serta ijmak ulama.

- Advertisement -

Menurut beliau, antara dalil utama ialah firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.”

Beliau menjelaskan bahawa dalam mazhab Syafi‘i, babi dikategorikan sebagai najis mughallazah yang wajib dijauhi oleh umat Islam, di mana larangan itu, bukan sekadar berkait soal ibadah, malah turut melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan awam.

“Dari sudut saintifik, babi dikenal pasti sebagai perumah kepada pelbagai penyakit zoonotik dan parasit berbahaya seperti Trichinella (trichinosis), cacing pita (Taenia solium), influenza babi serta virus Nipah.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) turut mengesahkan bahawa pengambilan daging babi mentah atau tidak dimasak sempurna boleh menyebabkan jangkitan parasit serius kepada manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut merujuk kepada pengalaman negara berdepan wabak Nipah pada tahun 1998 hingga 1999 yang berpunca daripada interaksi rapat dengan industri penternakan babi.

Menurutnya, wabak tersebut merekodkan sebanyak 265 kes jangkitan dan 105 kematian, selain menyebabkan lebih sejuta ekor babi dilupuskan bagi mengawal penularan wabak.

“WHO melaporkan majoriti mangsa terdiri daripada individu yang mempunyai kontak rapat dengan babi di ladang ternakan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Wan Ahmad menegaskan bahawa penternakan babi berskala besar juga berisiko mencetuskan pencemaran alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik.

Katanya, sisa buangan ternakan boleh mencemarkan sungai, menghasilkan pencemaran bau, meningkatkan kandungan nitrogen dan ammonia dalam air serta menjejaskan keseimbangan ekosistem setempat.

Beliau turut menarik perhatian kepada langkah Singapura yang telah lama mengurangkan dan akhirnya menamatkan kebanyakan operasi penternakan babi domestik.

“Keputusan itu dibuat atas faktor keterbatasan tanah, pencemaran alam sekitar serta kawalan kesihatan awam.

“Negara itu kini bergantung kepada import bekalan daging babi daripada negara luar termasuk Malaysia dan Indonesia seperti Pulau Bulan di Kepulauan Riau,” katanya.

Menurut beliau lagi, situasi tersebut menunjukkan negara moden juga memilih untuk mengurangkan risiko pencemaran dan wabak dalam negara mereka sendiri dengan memindahkan sumber ternakan ke luar.

“Malaysia pula dilihat antara pengeksport dan pembekal utama daging babi hidup serta produk berkaitan kepada Singapura sejak sekian lama.

“Persoalannya, mengapa negara lain memilih untuk mengurangkan industri ini di tanah mereka sendiri, tetapi kita pula mahu terus memperluaskan penternakannya sehingga berisiko menambah pencemaran dan konflik sensitiviti masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun Malaysia mempunyai masyarakat bukan Islam yang memakan babi, isu tersebut perlu diurus secara tepat berdasarkan realiti semasa dengan mengambil kira kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta sensitiviti majoriti masyarakat Islam.

“Hak minoriti untuk mendapatkan sumber makanan tidak seharusnya mengatasi hak masyarakat umum untuk menikmati persekitaran yang bersih, selamat dan bebas daripada risiko pencemaran serta ancaman penyakit zoonotik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kerajaan agar tidak memandang ringan isu perluasan penternakan babi yang boleh memberi kesan kepada kualiti hidup rakyat.

Katanya, negara ketika ini sudah berdepan pelbagai cabaran kesihatan, justeru langkah menambah risiko baharu melalui pengembangan industri berisiko tinggi adalah tidak wajar.

“Perluasan ladang babi bukan perkara remeh kerana ia membawa mudarat yang nyata kepada kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat lalu sekali lagi menegaskan bahawa Baginda tidak berkenan dengan pembinaan ladang babi di mana-mana kawasan di negeri itu dan menitahkan supaya isu berkenaan dihentikan.

Pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Baginda bertitah, isu penternakan haiwan itu perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -