Pelajar cemerlang DUN Manir terima penghargaan

Hilmi (tengah) menyampaikan penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Manir 2025 di Dewan Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, Hulu Terengganu.
- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Seramai 107 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 Juzuk menerima penghargaan dalam satu majlis khas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, anugerah yang disampaikan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat itu bertujuan menghargai usaha serta komitmen pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.

- Advertisement -

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga diharap dapat menjadi suntikan semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

“Kerajaan Terengganu sentiasa mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan kerajaan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan.

“Ilmu merupakan anugerah Allah dan sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Bertambah untung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Manir 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini.

Turut hadir, Penyelia i-MiTS Manir, Zulkifli Abdullah, Penghulu Mukim Belara, Khairul Shahril Othman serta guru-guru sekolah dalam DUN Manir.

Majlis itu turut diserikan dengan penyampaian anugerah dan sijil kepada semua pelajar cemerlang, selain dihadiri ibu bapa dan penjaga pelajar.

Terdahulu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Terengganu berjaya mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.17, sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42.

Seramai 591 calon memperolehi semua A dalam peperiksaan berkenaan, meningkat berbanding 532 calon pada tahun lalu.

Jumlah calon yang memperoleh semua A+ turut meningkat kepada 25 orang berbanding 11 orang sebelumnya.

Seramai 11,633 daripada 17,457 calon atau 67.6 peratus lulus semua mata pelajaran yang diambil. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -