
KUANTAN: Ketua Pembangkang Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda menitahkan agar proses kelulusan projek dipercepatkan kepada tempoh tiga hingga empat bulan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta menarik pelaburan ke negeri ini.
Menurutnya, titah tersebut mencerminkan keprihatinan baginda terhadap isu kelewatan kelulusan projek yang sering dikaitkan dengan prosedur birokrasi berlebihan sehingga menjejaskan keyakinan pelabur.
“Proses itu perlulah dipercepatkan kepada perkara-perkara yang tak perlu diberi ‘red tape’ yang banyak dan kadang-kadang pelabur datang akhirnya kerana prosedur panjang sangat, mengambil masa menyebabkan pelabur akan lari ke negeri lain.
“Tuanku tetapkan tempoh tiga ke empat bulan mesti satu projek itu diluluskan,” ujarnya pada satu sidang media selepas tamat Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Negeri Pahang bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap isu kelestarian alam sekitar di Pahang yang disifatkan sebagai antara negeri penyumbang utama kelestarian alam di negara ini.
“Pahang telahpun memperuntukkan satu kawasan zon Taman Negara, tetapi apa yang Pahang dapat daripada kita ‘reserved’ Taman Negara beribu hektar. Kerajaan negeri hilang punca pendapatan,” katanya.
Terdahulu, Tengku Hassanal menzahirkan kebimbangan terhadap keadilan undang-undang Persekutuan yang disifatkan tidak memihak kepada hak negeri Pahang.
Baginda bertitah, Kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap titah dan kepentingan negeri itu termasuk dalam soal hasil negeri, bidang kuasa serta pelaksanaan pembangunan.
Sehubungan itu, baginda berharap Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan sewajarnya kepada Pahang atas pengorbanan besar negeri itu dalam memelihara kawasan hutan, biodiversiti, flora dan fauna serta kawasan tadahan hujan yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem negara.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka senada dengan titah baginda sekali gus mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian imbuhan kepada kerajaan negeri atas usaha pemeliharaan hutan dan kawasan konservasi.
“Sepatutnya dipertimbangkan juga soal-soal hak kepada negeri untuk mendapat kelebihan tentang bagaimana hutan-hutan kita yang dijaga ini dibayar imbuhan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











